Saturday, August 28, 2010

utusan cinta...

Utusan cinta....
Kunjungannya tidak dipelawa...
Hadirnya juga tidak pernah dipinta...
Lalu terus menghampiri hati...
Meminta jiwa untuk dikasihi...
Merayu untuk mengisi relung hati...
Merayu untuk menumpang kasih nurani...
Tebarannya mewangi...
Berkata pada rasa...
Lompang kosong itu perlu diisi...

Hati ini terlalu rapuh...
Walau luarannya kelihatan ampuh...
Enggan dikecewa seperti dirasa...
enggan mengecap sengsara jiwa...
namun akurnya menghurai derita...
Dan cinta mula berbicara...
Membenihkan rasa...
Terkadang ukurannya terlalu indah...
Namun adakalanya kepahitan menerjah...

Tuhan...ku cuma insan...
Sukarnya menidakkan kata...
Sukar jua mengungkap bicara...
Apakah ini sekadar sandiwara...
Atau hiasan dunia tanpa jasadnya...

Tuhan...kurnia MU sempurna...
Tanpa cela segala...seadanya terdamba...
Tercipta cinta tanpa paksa...

Sayang...
Kasihmu sang bara...
Menghangatkan rasa...
Namun derita memijaknya...
Sengsara menelannya...
Andai tabah mengengami...
Pasti akan menjadi arang...

Sayang...
Pintaku...raikan cinta ini...
Dengan keramat kasih sayangmu...
Andai kau jua tahu...
Utusan cinta milik Ilahi...
Bajai...siramilah...
Dengan hembusan kasturi...
Tanpa cela...tanpa noda...
Tanpa cengkaman nafsu melata...
Kerana kasih ini...
Utusan cinta dari Maha Mengasihi...

Friday, August 27, 2010

Pelita Kasih

“Surat yang saya edarkan ini perlu diserahkan kepada ibubapa atau penjaga kamu. Pastikan juga ibubapa atau wakil penjaga kamu dapat hadir pada Hari Ucapan Dan Penyampaian Hadiah hujung minggu depan. Pada hari tersebut saya mahu berjumpa dengan ibubapa dan penjaga kamu secara lebih dekat. Bagi peserta Program Saintis Muda, minta ibubapa atau penjaga kamu isikan borang yang saya edarkan tadi dan mereka diwajibkan datang pada Hari Ucapan Dan Penyampaian Hadiah nanti.” Panjang lebar penerangan Cikgu Hafiz sambil mengedarkan surat jemputan Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah dan borang Program Saintis Muda. Aku membaca surat jemputan yang diagihkan sepintas lalu. Borang Program Saintis Muda kubaca teliti. Aku antara 7 pelajar yang terpilih menyertai program ini. Selain aku yang terpilih menyertai Program Saintis Muda Inovasi, sahabat baikku, Fazrie dan Hakimi turut terpilih. Fazrie terpilih untuk Saintis Muda Bioteknologi, sesuai dengan dirinya yang diberi julukan ‘doktor pokok’ lantaran obsesinya terhadap pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan dan Hakimi pula terpilih untuk Saintis Muda Aeroangkasa kerana bakatnya terserlah di bidang aeroangkasa. Dia memang bercita-cita untuk menjadi angkasawan, dan impiannya menerokai angkasa. Mengagumi angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor dan Dr Faiz Khaleed, Hakimi diberi julukan ‘kosmonut muda’ di sekolah. “Faham semua?” sambung Cikgu Hafiz. “Faham, cikgu.” Serentak pelajar 5 Exora menjawab.
“Es, kau tengok pokok aku ni okay tak? Aku tengok macam tak okay je.” Fazrie membelek pokok kaktus kesayangannya yang tidak pernah berenggang dengan dirinya. “Bukan pokok tu yang sakit, tapi kau tu yang tak sihat! Mohamad Zulfazrie, kau ni tak ada kerja lain ke? Aku tengok pun naik pening dengan kau ni. Pokok tu juga jadi masalah kau...” Hakimi terus menguyah kuih popia yang dibelinya di kantin. “Luqman Hakimi, aku tanya Eskandar Lawrence. Bukan kau!” Fazrie terus membelek pokoknya. “Cubalah kau fikirkan sesuatu yang lebih kritis, lebih kreatif. Macam... ha... apa rasanya kuih popia ni bila kita bawa ke angkasa. Mungkin masih kekal atau telah berubah...keterapungannya di angkasa. Itu lebih kritis, kau tahu.” Hakimi mengangkat kuih popia yang berbaki separuh di tangannya. “Mengaku dulang paku serpih kau ni. Katakan orang kau tu yang lebih. Cepatlah habiskan makanan tu, nanti kita terlewat masuk ke kelas.” Gesaku. Kami menghabiskan baki makanan dan beredar dari kantin menuju ke kelas...
Loceng berbunyi menandakan sesi persekolahan telah berakhir. Aku, Fazrie dan Hakimi berjalan seiringan menuju ke pagar utama. Menunggu di pondok bas berhampiran dengan pagar sekolah. Keadaan memang penuh sesak dengan kelibat ibubapa menjemput anak-anak mereka pulang dari sekolah. “Okaylah. Mama aku dah sampai.” Fazrie memandang kearah kereta ibunya. “Jumpa lagi petang ni di tempat biasa okay.” Dia terus berlari mendapatkan ibunya yang menunggu di tepi jalan. “Erm, tu pun ayah aku sampai. Aku balik dulu Es. Jumpa petang nanti.” Aku mengangguk sambil memandang Hakimi menuju kearah bapanya. Aku memandang jam tanganku. Hatiku resah. Siapa yang akan menjemputku hari ini? Ayah Cik, Ayah Su atau Nenek? Seingatku, Ayah Cik ada mesyuarat dengan kliennya hari ini. Begitu juga Ayah Su. Mungkin Nenek akan menjemputku menggunakan basikal tua peninggalan Atuk. Memikirkan pengorbanan mereka, aku sendiri rasa terharu. Sejak kecil aku dipelihara oleh Nenek. Sehingga Ayah Cik dan Ayah Su tamat belajar serta ditauliahkan sebagai peguam yang mempunyai firma guaman mereka sendiri, merekalah tempatku bergantung. Menurut Nenek, mamaku meninggal kerana terlibat dalam kemalangan jalanraya. Bunyi hon kereta mengejutkan aku dari lamunan. Kereta Honda Jazz berwarna biru metalik diparkir betul-betul di hadapanku. Ayah Cik menurunkan cermin tingkap keretanya. “Sorry, Es. Ayah Cik ada meeting dengan klien tadi. Tak sedar terbabas waktu. Cepat naik. Nenek dan Ayah Su dah tunggu di rumah, nak makan tengahari sama-sama.” Ayah Cik menyuruhku naik. Aku terus masuk kedalam perut kereta Ayah Cik dan kereta Ayah Cik meluncur meninggalkan sekolah...
“Kau dah siap kerja rumah matematik yang Cikgu Hafiz bagi tadi?” Hakimi bertanya kepadaku. “Dah.. eh, aku nak tengok pancing aku. Dah diragut ikan ke belum.” Aku turun ke bawah pondok di tengah sawah ini. Di pondok inilah kami bertiga selalu berjumpa. Menyiapkan kerja sekolah yang tertangguh, bercerita dan bermain. Fazrie yang baru sampai menghampiriku. “Ada dapat ikan?” Fazrie bertanya kepadaku. Aku mengisyaratkan Fazrie supaya jangan membuat bising. “Ikan dah lari. Kau bising sangat.” Aku kembali naik ke pondok. “Eh. Hari sabtu nanti abah aku nak datang ke sekolah. Kau siapa yang datang?” Hakimi bertanya. “Mama dan abah aku janji nak datang.” Fazrie memberitahu. “Yelah. Anak manja. Bongsu lagi. Kau siapa datang Es?” aku melihat Fazrie menarik muka. “Entahlah. Mungkin Ayah Su atau Ayah Cik aku yang datang.” Aku meneruskan kerja. “Es, kalau aku tanya ni kau jangan marah ye. Mana mak dan ayah kau? Aku tengok kau manja betul dengan Nenek, Ayah Cik dan Ayah Su kau.” Aku tersentak. “Hmm... entah. Apa yang aku tahu, mama aku meninggal dunia dalam kemalangan masa aku kecil dulu. Nama dia Sofea Lawrence.” Aku bercerita setakat pengetahuanku. “Kiranya kau ni anak orang putihlah?” Fazrie bertanya. Aku mengangguk. “Macamana dengan ayah kau?” aku memandang Hakimi. “Nenek, Ayah Cik dan Ayah Su tek pernah bercerita apa-apa pun pasal ayah aku. Aku pun tak pernah kenal siapa ayah aku. Gambar pun aku tak pernah tengok. Tak macam mama aku. Tapi aku tahu nama dia Ahmad Faizal. Sebab nama aku ber‘bin’kan Ahmad Faizal. Eskandar Lawrence bin Ahmad Faizal. Mungkin juga ayah aku abang kepada Ayah Cik dan Ayah Su. Kalau tak takkan aku panggil mereka Ayah Cik dan Ayah Su kan.” Fazrie dan Hakimi mengangguk faham. “Eh, Es. Kail kau! Kena ragut tu!” Jeritan Fazrie membuatkan kami bersama-sama terjun kedalam lopak sawah...
“Kenapa ni?” nenek bertanya cemas. Aku menghulurkan ikan haruan yang mengenai umpanku. Nenek tersenyum tanda memahami. “Pergi mandi. Sekejap lagi turun makan bubur kacang.” Aku menggangguk dan berlalu. “Ya ALLAH. Kenapa ni?” Ayah Cik terkejut melihat bajuku yang dipenuhi lumpur. “Jadi ‘superman’lah ni. Ikan apa yang jadi mangsa?” Ayah Su keluar dari perpustakaan mini. “Haruan... tak percaya tengok kat dapur. Es dah beri pada nenek.” Aku terus melangkah kearah bilikku yang terletak di hadapan perpustakaan. Rumah sederhana ini telah banyak diubah suai oleh Ayah Cik dan Ayah Su. Mempunyai 7 bilik, dengan 6 bilik air. Juga bilik yang dijadikan perpustakaan dan stor. Cukup kompleks dengan 2 ruang tamu dan dapur basah dan dapur kering, rumah ini tampil ringkas dengan hiasan dekorasi sentuhan Ayah Su yang memang arif mengenai hiasan dalaman. Inilah syurga dunia kami. Sedari kecil aku dibesarkan di rumah yang dulunya hanya sebuah rumah kayu dengan limpahan kasih sayang yang tidak perneh bertepi. Aku terus melangkah ke bilik air sambil menyanyi kecil..
“Ayah Cik... surat dari sekolah...” aku menghulurkan surat jemputan ke Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah sekolah. Ku kepilkan borang Program Saintis Muda Inovasi bersama. “Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah. Sabtu depan ya...” Ayah Cik membelek helaian belakang. “Hmm... Program Saintis Muda Inovasi. Sukacita dimaklumkan bahawa anak tuan/puan telah terpilih sebagai peserta Program Saintis Muda Inovasi. Diharapkan tuan/puan dapat mengisikan borang di helaian berikutnya dan kembalikan kepada pihak sekolah secepat mungkin. Bagusnya anak Ayah Cik.” Ayah Su mengambil borang dari tangan Ayah Cik. “Ajui, kau free hujung minggu depan?” Ayah Cik bertanya kepada Ayah Su. “Hujung minggu depan... aku rasa free. Kau?” Ayah Su bertanya kembali kepada Ayah Cik. “Aku pun. Aku ingat nak ambush cikgu Es ni.” Ayah Cik tersenyum nakal. “Beres. Nak juga aku berkenalan dengan cikgu-cikgu Es ni.” Ayah Su tersenyum. “Kau nak kenal tu punya niat yang tersirat. Tak habis-habis dengan Cikgu Nur Fitriyah tu.” Ayah Cik menyindir. “Kau ni pandai jelah, Ajil. Aku ni nak mengenali hati budi je.” Ayah Su ketawa. Aku mengerti maksud tersirat Ayah Su. Ayah Su ada hati dengan cikgu sainsku, Cikgu Fitriyah. “Es buat apa ni?” aku tersenyum memandang Ayah Cik. Ayah Cik mengambil tempat di sebelahku. “Apa ni?” aku memandang kearah Ayah Su yang turut bersila di hadapanku. “Joran. Yang Ayah Chik belikan tempohari. Es nak jadikan joran ni separa automatik. Joran ni akan menarik dan memberi isyarat apabila umpan diragut ikan, tersangkut pada kayu atau apa-apa saja.” Aku memutar skru. “Ini mesti kes nak memancing kat tali air kan. Ayah Cik bukan tak nak kasi Es main di sana... tapi tali air tu bahaya, tak sesuai untuk Es.” Aku tersengih memandang Ayah Cik. “Es pandai berenang. Kalau tak sia-sia Es belajar berenang.” Pujukku. Aku teringat sewaktu Ayah Cik dan Ayah Su dapat tahu aku memancing di tali air. Akibatnya, aku diikat pada pokok mangga di belakang rumah sehingga Maghrib. Segerombolan kerengga yang membina sarang diatas pokok mangga juga menjadi peneman setiaku petang itu. Dengan kesedihan kerana ‘hukuman’ yang kuterima belum berkesudahan, deritaku bertambah dengan kehadiran makhluk kecil ini. Cukup memeritkan apabila sang kerengga menggigit seluruh tubuhku. Walaupun aku kesayangan Nenek, Ayah Cik dan Ayah Su, namun aku tetap dihukum dengan setiap kesalahanku. Kelakar apabila dikenangkan apabila pada malam tersebut, Ayah Cik dan Ayah Su bergilir-gilir menyapu ubat pada bekas gigitan kerengga pada badanku. “Apa kata, Es buat sesuatu yang boleh mengukur kedalaman sesebuah tempat yang berair. Dari situ kita dapat mengesan lubuk ikan juga kan.” Ayah Su memberi cadangan. Aku berfikir sejenak. “Nanti Es cuba buat. Tapi, Es nak kereta control boleh tak?” pintaku. “Kereta control? Okay,no problem. Nanti kita cari di bandar.” Ayah Su menghampiri dan membelai rambutku lembut. “Ayah Cik pun nak juga.” Ayah Cik menyampuk. “Ayah Cik, kalau nak cari sendirilah. Gaji ribu-ribu nak simpan saja ke. Kan, Es” sindir Ayah Su. Aku mengangguk, mengiyakan apa yang diperkatakan oleh Ayah Su. Sempat aku dan Ayah Su melagakan ibu jari kami, tanda kompromi. “Komplot ye. Tak apa...” Ayah Chik menarikku kebawah lengannya. “Nakal ye! Ambik ni... dush!dush!dush!” Ayah Cik berpura-pura membelasahku. Kepekatan malam bergempita dengan tawa riang kami di anjung rumah...
“Eskandar Lawrence seorang pelajar yang bijak dan pandai. IQ dia memang di tahap yang terbaik. Pihak sekolah menyedari bakat dan kebolehan Eskandar dalam bidang kejuruteraan. Pandangan fizik dan kimianya sangat tajam dan tepat. Dia memiliki daya pemikiran kreatif dan kritis.” Cikgu Hafiz memandang kearahku yang manja dalam pelukan Ayah Cik. Ayah Su menganggukkan kepala. “Tapi saya nak tahu. Apa faedahnya apabila Eskandar menyertai program ni? Dari segi risiko dijangka dan luar jangka. Bagaimana ia ditangani oleh pihak sekolah. Sebab saya dapat melihat risiko yang agak besar bagi semua pelajar yang menyertai program ni. Adakah modul program ni akan menjejaskan prestasi Eskandar?” tanya Ayah Su bertubi-tubi. “Encik Faizul jangan bimbang. Faedah untuk Eskandar sebagai peserta program ni sangat banyak. Pihak sekolah memberi pelbagai inisiatif kepada pelajar yang menyertai program ni, baik inisiatif jangka pendek seperti lawatan percuma sambil belajar, penyertaan seminar-seminar dan sebagainya dan inisiatif jangka panjang seperti sijil penghargaan dan tempat ke sekolah berasrama penuh. Risiko terjangka dan luar jangka juga telah diaturkan oleh pihak sekolah dimana skim perlindungan insurans disediakan untuk semua peserta program. Mengenai modul yang disusun, ia meliputi semua kebolehan dan kemahiran pelajar bersandarkan pengkhususan kepada bidang mereka.” Panjang lebar penerangan Cikgu Hafiz. “Selain saintis muda inovasi yang disertai Eskandar, apa lagi kursus selainnya? Bagaimana dan atas kriteria apa pelajar dipilih untuk menyertai program ini?” giliran Ayah Cik bertanya. “Untuk pengetahuan Encik Faizil dan Encik Faizul, kursus lain yang disediakan untuk peserta program saintis muda termasuklah kursus aeroangkasa, bioteknologi , mental arithmetik dan matematik, akuatik dan marin, rekaan cyber, dan falsafah. Pelajar yang terpilih sebagai peserta bukanlah sebarangan pelajar, tetapi mereka telah melalui piawaian yang ketat untuk memenuhi keperluan program ini. Ia juga disokong oleh pejabat pelajaran dan kementerian.” Tenang Cikgu Hafiz menerangkan satu-persatu. Cukup teratur dan tersusun. “Saya bukan apa, cikgu. Saya cuma mahu pastikan Eskandar selamat. Apa-apa terjadi padanya, saya mahu pihak sekolah dan kementerian menjadi defendan pertama dan kedua.” Ayah Cik memberi kata dua. Cikgu Hafiz tersenyum panjang. “Saya faham, Encik Faizil, Encik Faizul. Kami sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk mereka.” Cikgu Hafiz memberi jaminan.
“Apa yang dicari tu, Es?” tiba-tiba nenek muncul dari dapur. Aku yang masih mencari sesuatu melihat nenek membawa kain lap dan bekas berisi air. “Mana Ayah Cik dengan Ayah Su, Nek? Sedari tadi sunyi je rumah ni. Takkan cuti pun Ayah Cik dan Ayah Su ada meeting. Diorang dan janji nak bawa Es ke pekan petang ni...”  Nenek mengelap rak televisyen. “Ayah Cik dan Ayah Su? Nun... berkubang tengah bendang sana. Nak cari ikan kata mereka. Pergilah tengok.” Aku keluar melalui pintu belakang. “Es pergi dulu, Nek.” Aku meminta diri. “Opocot mak kau bukan mak aku! Aduh, budak! Kau ini mampu membuatkan aku terkena penyakit tahu! Penyakit yang mampu meragut nyawaku ini! Apalah salah aku bertandang ini? Eh, Mak Piah ada?” tiba-tiba terjengul Pak Cik Izwan memarahiku. “Aku sudah kelaparan. Tiga hari tak makan. Aku nak minta nasi.” Aku menoleh kearah nenek. “Nek, Pak Cik Izwan datang.” Aku memberitahu nenek akan kedatangan Pak Cik Izwan. Pak Cik Izwan adalah seorang pesakit mental. Menurut cerita Nenek, Pak Cik Izwan dan Ayah Cik adalah sahabat karib sejak kecil sehingga ke alam persekolahan. Pak Cik Izwan asalnya adalah pelajar yang sangat pintar. Namun, segalanya berubah apabila ibunya tidak membenarkannya mengikuti kursus penerbangan. Cita-cita Pak Cik Izwan untuk menjadi juruterbang terbantut gara-gara ibunya ingin dia bergelar seorang doktor. Akhirnya, kerana tekanan terlampau Pak Cik Izwan jadi begitu. Tambah menyedihkan apabila ibunya meninggal dunia, dia semakin tertekan. Dan kami menjadi tempatnya bergantung harap, makan, minum dan kadang-kadang tidur juga di rumah kami. Kadang-kadang aku ketawa kelucuan melihat keletahnya apabila dia mengayakan aksi juruterbang di pangkin depan rumah. Namun Nenek menyuruhku berdiam dan jangan mentertawakannya. “Nah.. nasi, Wan.” Nenek menyerahkan sepinggan nasi dan segelas air. “Heheh, terima kasih... terima kasih.” Pak Cik Izwan menyambut pinggan nasi dan gelas. “Lepas makan nanti mandi.” Pak Cik Izwan mengangguk-anggukkan kepala dan berlalu menuju kearah pangkin. “Apa dia cakap tadi?” tanya nenek. “Biasalah, nek. Orang macam tu...” Aku tersenyum melihat gelagat Pak Cik Izwan menepis beberapa ekor kucing yang datang menggangunya makan...
Aku mencangkung di tepi bendang. Melihat Ayah Cik dan Ayah Su asyik mencari ikan. Tangan mereka meraba-raba ke dasar lumpur. Seketika kemudian, Ayah Cik mengangkat tangannya. Seekor ikan puyu berjaya ditangkapnya. “Yang ni simpan dalam akuarium.” Ujar Ayah Cik. “Berapa banyak ikan yang dapat?” tanyaku. Ayah Su mengangkat bekas jaring di tepi bendang. Aku tersenyum. Memang Ayah Cik dan Ayah Su penangkap ikan yang hebat. Sehebat mereka berhujah di mahkamah. Melihat mereka dalam keadaan sebegitu, tiada siapa yang menyangka mereka merupakan pemegang ijazah sarjana muda undang-undang kelas pertama dan calon ijazah sarjana undang-undang. Peguam bertauliah. Ku masih ingat bila ada beberapa wanita mencemik muka melihat Ayah Cik dan Ayah Su di pasar minggu menjual ikan hasil tangkapan mereka dengan baju lusuh tanpa mereka tahu sebenarnya Ayah Cik dan Ayah Su adalah peguam bertauliah. “Nak jual ke pasar?” tanyaku lagi. “Tak kot. Buat pekasam. Boleh kita makan.” Ayah Su mengesat peluh yang merenik di dahinya.
“Es, aku akan bertemu dengan Dr Sheikh Muszaphar hujung minggu ni. Jemputan eksklusif tau.” Hakimi memberikan surat tawarannya kepadaku. “Aku pun nak ke Cameron Highland. Makan strawberi dan beli kaktus.” Fazrie tersenyum sambil memegang surat tawarannya. “Kau ke mana?” aku tersenyum memandang Fazrie dan Hakimi. “Aku pergi minggu depan. Aku akan ke kilang Proton di Perak. Korang tak ada, bosanlah aku hujung minggu ni.” Aku memuncungkan bibir. Di kotak memoriku telah membayangkan kebosanan yang takkan ada penghujungnya tanpa kelibat sahabatku ini. “Alah, kau apa susah. Ikut Ayah Cik dan Ayah Su pegi menjual di pasar minggu pun okay apa.” Fazrie membelek pokok kaktusnya. “Ayah Cik ada kes hujung minggu ni. Ayah Su, entahlah. Mungkin aku ajak Ayah Su pergi bandar.” Aku menaikkan mata kailku. Seekor ikan keli tersangkut di hujung kail. “Kalau begitu, tak apalah. Aku risau kau mati kebosanan je.” Hakimi memerliku. “Pandailah kau. Dah petang ni. Aku balik dulu.” Aku mengemas barang-barangku. “Jumpa minggu depan.” Aku melambai tanganku kearah mereka..
Hari minggu yang sangat membosankan. Aku termanggu di hadapan komputerku. Komputer hadiah daripada Ayah Cik, lengkap dengan modem stremyx di rumah yang boleh kugunakan sesuka hatiku. Bila-bila masa. Namun kurasakan hari ini komputerku jemu memandangku sedari pagi. Semua laman web telah habis kujelajahi. Tiba-tiba hatiku tergerak untuk mengondam stor di belakang rumah. Mungkin disana ada sesuatu yang boleh kujadikan mangsaku pada hari ini. Aku berjalan menuju kearah stor. Melewati bilik Ayah Su. Kulihat Ayah Su sedang tekun di hadapan komputernya. Mungkin dia sedang menyiapkan kerjanya yang selalu menuntut pemerhatian lebih dari Ayah Su. Ku akui, Ayah Cik dan Ayah Su selalu sibuk. Kerana itu juga mereka masih membujang sehingga ke hari ini. Bebanan kerja mereka menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Hanya yang mengerti sahaja memahaminya. Aku membuka pintu stor. Meneliti barangan dalam stor yang tersusun rapi. Mataku tersorot kepada sebuah kotak yang agak tersorok. Kedudukan kotak itu menarik perhatianku. Tersorok dan kelihatan misteri. Aku menghampiri kotak itu. Barangan yang disusun dihadapan kotak lusuh itu ku susun ketepi. Menarik kotak itu penuh hati-hati. Setelah berada dalam keadaan selamat, aku membuka kotak ‘misteri’ tersebut. Aku mengerutkan dahi melihat isi di dalam kotak tersebut. Beberapa bingkai gambar yang tersusun di dalam kotak tersebut kutarik keluar. Penuh hati-hati. Gambar seorang lelaki menerima ijazah. Dan gambar Ayah Cik, Ayah Su dan Nenek bersama lelaki yang sama. Aku kembali menjenguk kedalam kotak itu. Terdapat diari dan album gambar lama. Ku selak diari lama tersebut. Tertera nama Ahmad Faizal bin Ishak. Papa? Perasaanku membuak-buak ingin tahu. Aku menyelak helaian album sehelai demi sehelai. Inikah papa aku? Aku melihat lelaki yang bergaya sedang memberikan pose untuk gambarnya. Kacak. Seiras Ayah Cik dan Ayah Su. Hatiku kuat mengatakan dia adalah papa. Mataku menyoroti gambar lainnya. Mama? Aku semakin meyakini lelaki tersebut adalah papa. “Siapa buka pintu stor ni...” Ayah Su tergamam melihatku di dalam stor...
Aku berteleku di sofa. Potret papa yang ku jumpai tadi berada erat di pelukanku. Nenek memandangku dan Ayah Su yang masih mundar-mandir. “Es, sukar untuk Ayah Su dan Nenek jelaskan pada Es.” Aku melihat mata Nenek berkaca-kaca. “Ajui, dia patut tahu. Mak dah tak mampu berahsia lagi dengan Es.” Nenek memelukku erat. “Mak, bukan kami tak mahu jelaskan pada Es. Tapi kami sendiri tidak pasti. Adakah Abang Ejal nak mengakui Eskandar sebagai anak dia. Sampai sekarang pun Abang Ejal masih hilang tanpa khabar berita. Kami masih berusaha menjejakinya. Dan selagi itu kami mahu merahsiakannya dari Es. Tapi kami lupa, Eskandar Lawrence semakin membesar. Semakin ingin menjalajah, semakin ingin ambil tahu. Dan...Es perlu tahu hal sebenar.” Aku melihat Ayah Su menunduk. Kedengaran salam diberi dari luar rumah. Ayah Cik menuju kearahku. Duduk di sebelahku. “Mak, izinkan Ajil dan Ajui bercakap dengan Es.” Nenek mengangguk dan terus menuju kedapur. Ayah Cik memaut bahuku lembut. “Es, Ayah Cik tak berniat merahsiakan apa-apa dari Es. Begitu juga Ayah Su.” Ayah Cik memulakan bicara. Berbanding Ayah Su, Ayah Cik lebih lembut dan teratur. Sesuai dengan kariernya sebagai peguam syarie, manakala Ayah Su terbiasa dengan ketegasannya sebagai peguam sivil. Ku akui antara mereka punya banyak persamaan sebagai saudara kembar, namun perwatakan berbeza mereka dapat dilihat jika diamati. “Sebenarnya, papa Es abang kami. Maksud Ayah Cik, kami tiga beradik. Papa Es anak sulung nenek dan arwah atuk. Usia papa Es tiga tahun lebih tua dari kami. Papa Es ditawarkan melanjutkan pelajaran keluar negara, ke UK. Waktu tu Ayah Cik dan Ayah Su di tingkatan 3. Selepas kursus persediaan 2 tahun, papa Es pun berangkat ke UK. Sewaktu Ayah Cik dan Ayah Su di kursus asasi undang-undang, kami terima berita papa Es nak bernikah dengan mama Es. Atuk dan nenek merestuinya, dan mama Es pernah dibawa pulang ke Malaysia. Mama Es memang wanita yang baik. Mama Es saudara baru, dan lebih sedih lagi, dia dibuang keluarga sendiri kerana memilih Islam. Dan kerana itu juga mama Es rapat dengan sepupunya. Sebab nak tahu perkembangan keluarga dan cuba menjernihkan kembali hubungan yang keruh...” panjang lebar Ayah Cik bercerita. Aku mendengar penuh minat. “Apa berlaku seterusnya? Kenapa mama meninggal? Dan kenapa papa tak mahu terima Es?” aku bertanya bertalu-talu. “Papa Es seorang yang kuat cemburu. Dia cemburukan kemesraan antara mama Es dan sepupunya. Walaupun sebenarnya mereka tidak boleh berkahwin. Dia menuduh mama Es curang dan menduakan dia. Lalu mama Es diceraikan. Sewaktu diceraikan, mama Es mengandungkan Es. Selepas melahirkan Es, mama Es datang ke Malaysia, dengan harapan papa Es akan menerima Es dan kembali mengikat kasih sayang antara mereka. Namun, sebaliknya berlaku. Keegoan papa Es telah membunuh cinta dan mama Es. Lalu, Es dipersalahkan kerana menyebabkan kematian mama Es. Selepas tu, kami tak berjumpa dengan papa Es sampai sekarang.” Ayah Su menyudahkan cerita Ayah Cik. Aku menunduk. “Dan kami telah berjanji akan memberikan sepenuh kasih sayang pada Es, walaupun ia menuntut pengorbanan, kami relakan demi Es. Ayah Cik janji” Ayah Cik memelukku. Ayah Su menghampiriku. “Es minta maaf. Es tak patut tanya.” Aku mencium tangan Ayah Cik dan Ayah Su. “Macam Ayah Su cakap tadi. Es berhak tahu.” Ayah Su mengengam jariku. “Janji dengan Ayah Cik, Es akan berjaya di dunia dan akhirat.” Ujar Ayah Cik. Aku mengangguk perlahan. “Es adalah segala-galanya bagi kami.” Ayah Su tersenyum mengangguk...
“Kalau ada jemputan eksklusif lagi memang aku takkan lepaskan peluang. Memang best sangat bila dapat jumpa dengan dia. Macam-macam aku tanya. Pengalaman dia selama di angkasa. Malah, dia memberikan suntikan motivasi paling mujarab untuk aku. Kalau boleh aku nak dia berikan motivasi juga kepada semua pelajar sekolah kita.” Hakimi menunjukkan beberapa gambar dia bersama Dr Sheikh Muszaphar dan tandatangan idolanya itu. “Nah, ni antara buah tangan untuk korang.” Hakimi memberikan rantai kunci kepada aku dan Fazrie. “Ini pulak untuk korang.” Giliran Fazrie menghulurkan sekotak buah strawberi. Hakimi terus membuka dan merasai buah strawberi. “Kenapa rasa dia tak macam rasa jem atau jus strawberi?” Hakimi memberi komen. “Faktor cuaca. Kalau di Cameron Highland kita boleh rasa manisnya. Memang sedap sangat. Tapi bila turun dari suasana sejuk Cameron Highland, rasanya bertukar. Kalau pati dan jem tu dah dicampur dengan perisa dan pemanis. Faham?” Hakimi menggangguk. Aku terus menikmati buah strawberi. “Aku juga belikan ini untuk korang.” Fazrie memberikan pokok kaktus di dalam pasu kecil kepadaku dan Hakimi. “Jaga elok-elok. Kalau dia mati siap korang.” Aku mengangkat pokok kaktus mini yang diberikan oleh Fazrie. Comel, pokok kaktus itu seakan bahagia dengan dunianya di dalam pasu comel berdiameter 2 sentimeter itu. Aku menyentuh duri kaktus perlahan. Duri-durinya yang tajam cukup melukakan jari seandainya disentuh secara kasar. Cara si kaktus melindungi diri. “Kau buat apa selama kami tiada?” aku tersenyum memandang Hakimi dan Fazrie. “Aku buat macam-macam. Melayari internet. Eh, ada figura terbaru transformers. Aku dah pujuk Ayah Cik aku untuk belikan. Mungkin hujung minggu depan kami akan mencarinya di bandar.” Aku meletakkan pokok kaktus pemberian Fazrie. “Untung kau. Apa kau mahu semua dipenuhi. Kau nak komputer, ayah saudara kau belikan. Kau nak kereta control, pun dapat. Nak itu, nak ini. Senang cakap kau minta terus diperkenankan. Tak macam aku. Apa-apa kena kongsi dengan adik-adik aku.” Hakimi seakan mencemburui dengan diriku. “Aku pun. Apa-apa kena berkongsi dengan abang dan kakak aku.” Fazrie menyambung. Aku memandang Fazrie dan Hakimi. “Korang lain. Ada ibu dan ayah yang sayangkan korang. Aku ni, mama dah meninggal. Papa pula tak terima aku.” Aku memandang kejauhan. “Kau dah jumpa papa kau?” tanya Fazrie ingin tahu. “Aku tak jumpa dia. Tapi aku jumpa barang-barang lama milik papa aku. Dan dari situ Ayah Cik dan Ayah Su ceritakan semuanya. Jadi teka-teki mengenai papa aku sudah terjawab.” Aku masih mengunyah strawberi. Fazrie menghampiriku. “Tak apalah, Es. Kalau papa kau tak mahu terima kau, kami masih ada.” Ku lihat Hakimi mengangguk perlahan.
“Es... buat apa ni?” Ayah Cik melihat peralatanku berterabur diatas pangkin. “Es tengah baiki kereta control ni. Tambah kelajuan.” Aku memutar skru pada komponen kereta yang kubuka. “Wah, kalau macam ni nanti Es boleh baiki kereta Ayah Cik. Untuk jadi lebih laju.” Aku hanya tersenyum. Kelihatan Pak Cik Izwan menghampiri pangkin. “Buat apakah ini?” Pak Cik Izwan bertanya sambil matanya meliar memandang kedalam rumah. “Baiki kereta. Kenapa, Wan?” Ayah Cik bertanya sopan. “Aku... lapar. Tak makan lagi. Nasi ada tak?” Pak Cik Izwan tersengih memandang Ayah Cik. Ayah Cik memandang kedalam rumah. “Cuba kau pergi jenguk kat pintu sana. Rasanya Mak Piah ada di dalam tadi. Kalau tak ada sesiapa di dapur, kau datang sini balik. Nanti aku ambilkan untuk kau.” Arah Ayah Cik. Pak Cik Izwan mengangguk dan asyik memandang kearahku. “Pergilah.” Ayah Cik menyuruh. “Budak, kau buat satu kapal terbang untuk aku. Boeing 747 okay. Sayap mesti cuci. Pastikan kau buat pre-flight check. Aku nak semua anak kapal dan penumpang aku selamat...” Aku tercengang mendengar permintaan Pak Cik Izwan. “Yelah. Nanti aku minta dia buatkan. Aku tahu apa kau mahu. Kau pergi makan dulu.” Pujuk Ayah Cik. Pak Cik Izwan menganggukkan kepala dan berlalu meninggalkan kami. “Kasihan Pak Cik Izwan tu kan, Ayah Cik.” Aku memandang Pak Cik Izwan yang terjenguk-jenguk di pintu dapur. Kelibat nenek menyahut panggilan Pak Cik Izwan dan menyerahkan makanan dan air seperti kebiasaannya. “Itulah, Es. Hidup di dunia ni adakalanya kita diatas, kadang-kadang kita dibawah. Semasa kita dibawah, jangan dengkikan orang diatas. Dan bila kita diatas, pandanglah kebawah. Faham, Es?” Aku mengangguk-anggukkan kepala...
Bayu petang cukup mendamaikan. Angin bersepoi-sepoi bahasa menerpa wajahku. Aku masih menguji kelajuan helikopter kawalan jauh yang baru dibeli bersama Ayah Su pagi kelmarin. Aku mahu menambah kelajuannya dan ketahanan helikopter ini, untuk membuatkannya lebih tahan dengan apa jua jenis cuaca. Pak Cik Izwan pula leka bermain dengan layang-layangnya, yang dibuat oleh Ayah Cik. Kadang-kadang aku hairan dengan sikap Ayah Cik. Walaupun Pak Cik Izwan ‘sakit’, namun Ayah Cik masih melayaninya seperti sahabat lamanya. Tiba-tiba helikopterku gagal dikawal dan menuju kearah layang-layang milik Pak Cik Izwan. Aku mula panik dan melihat wajah Pak Cik Izwan merona merah. “Kau budak!!! Siapa suruh kau langgar kapal terbang aku!!! Nanti kau disana!!! Nanti!!!” Aku membuka langkah seribu. “Budak!!! Siapa suruh lari!!! Nak kena dia ni!!! Aku bunuh kau!!! Aku bunuh kau!!!” Pak Cik Izwan mengejarku. “Ayah Cik...Ayah Su...nenek...tolong Es...” Aku menjerit sambil terus berlari. Nasib baik aku juara marathon sekolah. Kelibat Ayah Cik tersenyum kambing melihatku dikejar Pak Cik Izwan...
Aku masih membatu diatas pokok mangga. Betul-betul dibawah sarang kerengga. Segerombolan kerengga berpesta mengerumuniku. Sakitnya Tuhan saja yang tahu. Namun ku cekalkan semangat. Lebih-lebih lagi apabila melihat Pak Cik Izwan masih menungguku dengan pelbagai sumpah seranah. Aku bernasib baik kerana Pak Cik Izwan tidak pandai memanjat pokok. “Turun!!! Hei, budak!!! Turun aku kata!!!” jerit Pak Cik Izwan. Aku menggelengkan kepala. “Degil!!!” sumpahnya. Aku masih berdoa agar ada sesiapa yang menolongku. Salahku juga kerana gagal mengawal helikopterku dari melanggar layang-layang Pak Cik Izwan sehingga hancur berkecai. Andai aku mampu mengawal helikopterku, perkara begini takkan terjadi. Aku menyesali perbuatanku. Tetapi bagaimana mahu meminta maaf dengan Pak Cik Izwan? Dia bukan senang dipujuk jika sedang marah. Masih segar diingatanku, kenanganku bersama Hakimi dan Fazrie yang terpaksa terjun kedalam tali air kerana dikejar oleh Pak Cik Izwan. Angkara Fazrie yang telah merosakkan pokok tebu yang ditanamnya, kononnya mahu mengambil sampel tanaman tersebut. Lintang pukang kami menyelamatkan diri apabila dikejar dengan parang. Dan kini aku keseorangan. “Wan, dahlah tu. Ni aku dah siapkan layang-layang baru untuk kau.” Kehadiran Ayah Cik menyelamatkanku. Pak Cik Izwan mengambil dan tersengih memandang Ayah Cik. “Terima kasih, Ajil.” Pak Cik Izwan memeluk Ayah Cik dan berlalu. Aku mengelongsor turun. Membuang sisa kerengga yang masih melekat pada baju dan kulitku. “Kenapa Es langgar layang-layang dia? Kan dah kena.” Ayah Su memarahiku. Ayah Cik membelek bekas gigitan kerengga di tanganku. “Jom balik. Mandi. Lepas tu letak ubat.” Arah Ayah Su. Aku hanya menurut...
“Janganlah marah budak tu. Dia bukan sengaja.” Ayah Cik bersuara. Aku hanya terdiam. Ayah Su cukup marah dengan tindakanku memusnahkan layang-layang Pak Cik Izwan. Ayah Su menghela nafas panjang. “Sebab terlalu dimanjakan, dia ni manja terlebih. Kadang-kadang aku geram juga. Terlalu ikutkan hati. Degil. Tak ubah macam ayah dia.” Ayah Su menghamburkan kemarahan yang masih tersisa. “Watch your word, Ajui!” Ayah Cik mula hilang sabar. Aku cuma termanggu keseorangan. Ayah Su memandang aku yang masih terdiam. “Eskandar tak sengaja. Dan itu bukan kesalahan besar sampai kau nak marah-marah dia dengan begitu teruk sekali.” Ayah Cik menghela nafas panjang. “Berkali-kali aku pesan pada kau. Tekanan kerja bukan untuk Es.” Ayah Su cuma tertunduk. Ayah Cik memegang bahuku. “Es, pergilah masuk tidur. Ayah Cik nak berbincang sikit dengan Ayah Su.” Aku menganggukkan kepala dan berlalu kebilik. “Ajui, kau ni kenapa? Sejak akhir-akhir ni kau asyik mencari kesalahan Es. Kau dah tak sayangkan dia?” Aku mendengar Ayah Cik bertanyakan sesuatu kepada Ayah Su. “Aku bukan tak sayangkan dia. Aku tertekan waktu ni. Sejak Abang Ejal telefon tempohari.” Aku tersentak. Papa telefon Ayah Su? Aku memasang telinga. “Kau bimbangkan Abang Ejal akan ambil Es dari kita?” Ayah Su cuma terdiam. Aku melihat Ayah Su menganggukkan kepala. “Walau bagaimanapun, kita perlu relakan. Dan Es punya hak untuk membuat pilihan.” Aku terdengar Ayah Cik seakan menenangkan Ayah Su. “Ajil, aku tak boleh hidup tanpa Es. Kau pun tahu betapa sayang kita pada Es. Aku tak sanggup berpisah dengan Es. Dari kecil kita ambil dia. Kita tatang dia bagai minyak yang penuh. Aku tak mampu, Ajil. Sungguh, aku tak mampu.” Suara Ayah Su sayu. Aku juga tidak mampu menahan sedih. Ayah Su dan Ayah Cik terlalu menyayangiku. “Kalau kau tak sanggup, aku lebih lagi. Dia membesar depan mata kita. Dah 12 tahun, Ajui. 12 tahun bukan waktu yang singkat. Banyak kenangan kita bersama dia. Apa  Abang Ejal cakap pada kau?” Ayah Cik mengeluh. “Dia tanyakan Es. Aku jawablah. Es dah 12 tahun. Dah besar. Dia macam menyesal. Entahlah, aku malas nak fikir. Kenapa tak cari sejak dulu lagi? Kenapa budak tu dah besar baru nak bertanyakan dia?” Ayah Su kelihatan geram. “Ajui, dia berhak tanya...” Ayah Cik memujuk Ayah Su. “Sejak bila dia tahu pasal hak? Kalau dia sedar tentang hak dari dulu, dia takkan buat Eskandar terkontang-kanting tanpa belaian kasih seorang bapa. Ajil, walaupun Es nampak gembira dengan kita, tapi aku tahu, jauh di sudut hatinya dia rindukan ayah dia. Walau macamana pun kita sorokkan mengenai ayah dia, dia tetap tahu.” Ayah Su memotong kata-kata Ayah Cik. “Ajui, kalau kita bawa perkara ni ke mahkamah pun, kita akan kalah. Mustahil kau tak tahu.” Ayah Cik mencelah. “Kalau aku ikutkan hati ni, aku nak seret Abang Ejal tu ke mahkamah sejak dulu lagi. Tapi aku tahu apa implikasinya pada Es. Kerana Es aku pendamkan hasrat aku.” Ayah Su mula berbicara dengan lebih tenang. Ayah Cik menganggukkan kepala. “Ada Abang Ejal cakap bila dia nak balik kampung?” Ayah Cik bertanya. “Dia cakap dalam perancangan.” Wajah Ayah Su kelat. Aku menutup daun pintu bilikku. Duduk berteleku di katil. Perbincangan Ayah Cik dan Ayah Su cukup memberi impak kepadaku. Mengenai papa. Kalau aku kenal siapa papa, adakah semua masalah ini akan selesai? Perlukah aku mengenalinya? Aku buntu. Bayangan kelam wajah papa menerpa di ruang ingatanku. Tanpa sedar ku terlena sendiri...
Aku mengunyah roti bakar yang dibuat oleh nenek. “Morning my dear. Hari ni Ayah Su hantarkan Es, okay?” aku tersenyum dalam kehairanan. Semalam beria-ia benar Ayah Su memarahiku, tetapi hari ini sudah boleh menghantarku ke sekolah. Ayah Cik mengambil tempat. “Ayah Cik ada meeting awal pagi ni. Jadi Ayah Su akan hantarkan Es. Duit belanja hari ni...” Ayah Cik menghalakan telunjuknya pada Ayah Su. Ayah Su tersenyum. “Dengan syarat, Es kena kirimkan salam Ayah Su pada Cikgu Fitriah. Boleh?” aku mengangguk-anggukkan kepala sambil tersengih. Ayah Su mengusap kepalaku. “Ayah Su minta maaf dengan apa yang berlaku semalam.” Ayah Su menyambung. Aku terdiam. Membiarkan Ayah Su berbicara selanjutnya. “Ayah Su tak punya hak untuk menghalang Es berjumpa dengan papa Es. Es berhak untuk itu. Cuma Ayah Su harapkan Es tak melupakan kami kalau Es dah bertemu dengan papa Es nanti.” Aku memandang riak wajah Ayah Su menyimpan seribu satu perasaan yang sukar digambarkan. “Cepatlah makan. Nanti lambat ke sekolah.” Arah Ayah Cik. Aku menganggukkan kepala...
Cuti sekolah penghujung tahun menjelma lagi. Seperti biasa, aku akan menghabiskan cuti sekolah dengan menerokai pelbagai perkara mengenai jentera dan mesin. Jika tahun lepas, aku berjaya menghasilkan sebuah litar yang mampu menghidupkan sebuah mentol dengan kuasa generator penyedut air yang ku ubah suai sendiri, kali ini aku berkira-kira untuk mengubahsuai helikopter kawalan jauhku supaya mampu membawa bebanan di udara. Telah lama kuaturkan komponen diatas pelan yang hanya diriku memahaminya. Setidak-tidaknya aku biasa menyibukkan diri dengan duniaku dan tidak menggangu sesiapa. Ayah Su dan Ayah Cik sibuk dengan karier mereka. Nenek pula sibuk dengan ayam dan itik di reban. “Jauhnya termenung, kawan. Apa yang sedang difikirkan tu.” Suara Fazrie mengejutkan aku dari lamunan. “Tak ada apa-apa. Bila kau sampai?” aku bertanya, menghilangkan rasa sebal. “Baru sampai. Aku tunggu Hakimi tadi, dia suruh aku jalan dulu. Kau buat apa ni?” Fazrie membelek salah satu skru yang bertaburan. “Itu namanya skru. Aku tengah ubahsuai helikopter ni, supaya dia dapat bawa bebanan di udara.” Aku membelek rangka helikopterku yang masih dalam pembaikian. “Aku tahulah ini skru. Aku pun belajar apa benda ni. Bukan teruk sangat. Aku tanya kau buat apa, bukan bertanya apakah benda ni.” Aku melihat kelibat Hakimi memanjat tangga pondok. “Kau memang buta kayu. Yang kau tahu spesies tanaman-tanaman aje. Lain-lain kau dah fail.” Fazrie mencemik marah. “Aku tahulah!” marah Fazrie. “Kata nak cari ikan. Aku dah bawa semua peralatan ni.” Hakimi menunjukkan jaring penangguk ikan dan balang yang dibawanya. “Hari ni aku nak dapatkan ikan laga tempohari.” ujar Hakimi penuh harapan...
Aku masih menangguk air keluar dari tambakan lumpur yang kubuat. Beberapa ekor ikan menggeletik kehausan air. Cara mudah untuk menangkap ikan tanpa perlu menyeksa mereka dengan luka mata kail. Aku menangkap beberapa ekor ikan puyu dan memasukkan mereka kedalam balang yang kubawa dari rumah. Untuk ikan laga, aku menggunakan balang lainnya. Aku perlu mengasingkan ikan laga dari ikan-ikan lainnya sebelum ikan-ikan itu bergasak sesama sendiri, terutama ikan laga yang memang tidak akan pernah mengaku kalah walaupun fizikal lawannya jauh lebih besar dari dirinya sendiri. Hakimi leka meraba ke dasar lumpur. Balangnya sudah terisi ikan laga yang ditangkapnya. Fazrie pula mengorek lubang belut. Di dalam balangnya beberapa ekor belut sedang berenang-renang. Menurut Fazrie, bapanya suka makan belut. Leka kami berkubang sehingga pakaian kami dipenuhi lumpur. “Es, balik...” laungan Ayah Cik mengejutkan kami. “Okaylah. Aku balik dulu.” Aku mengangkat balang-balang milikku dan membawanya pulang...
“Assalamualaikum... Nek, Es balik...” Aku terpacak di hadapan pintu. Semua yang berada di dalam rumah memandang kearahku. Aku tersenyum melihat nenek yang sedang membancuh air. Ayah Su memandangku sambil menguntumkan senyuman. Namun senyumanku mati apabila melihat seraut wajah yang ku kenali tersenyum kearahku. “Salam papa, Es...” Bisikan Ayah Cik lembut menerjah gegendang telingaku. Aku masih membatu. Seakan sukar mempercayai bahawa aku akan menemui papa, yang selama ini hanya kukenali melalui gambar usang yang ditinggalkan sejak sebulan yang lalu. Papa masih tidak banyak berubah dari fizikalnya. Masih seperti di dalam gambarnya 12 tahun dulu, sehingga aku dapat mengenalinya untuk pertama kali pertemuan seperti ini. Aku masih terpinga-pinga apabila dipeluk erat oleh papa. Bagaikan suatu mimpi apabila aku berada di dalam dakapan erat papa. “Maafkan papa, Eskandar. Maafkan papa.” Terdengar esakan perlahan papa, seakan menyesali perbuatannya selama ini. “Es dah besar. Anak papa dah besar.” Papa mengusap dahiku. Berkali-kali papa mengucup ubun-ubunku. Namun aku masih terdiam, membatu. “Es... papa Es...” Ayah Su menghampiriku. Aku hanya berlalu meninggalkan Ayah Cik, Ayah Su dan papa. Meletakkan ikan hasil tangkapanku diatas almari dan menuju ke bilikku...
Aku membuka pintu bilik air sambil menyanyi kecil. Nyanyianku terhenti apabila mataku terpaku melihat Ayah Cik duduk dibirai katil. Wajah Ayah Cik tenang melihatku. Aku tersenyum. “Es, mari duduk dekat Ayah Cik.” Aku menurut. Ayah Cik memandang kearahku. “Es tak suka jumpa papa?” aku hanya terdiam. “Es, walaupun Es marahkan papa, Es kena hormati dia sebagai papa Es.” Ayah Cik cuba berdiplomasi. “Papa Es tak bertanggungjawab. Es benci papa.” Aku meluahkan rasa hati. Ayah Cik masih tersenyum. Mujur, Ayah Cik lebih penyabar menangani sikap degilku. Jika Ayah Su di tempatnya sekarang, kemungkinan aku akan menerima ‘habuan’ dari sikapku ini. “Betul, Es benci papa?” pertanyaan Ayah Cik membuatkan aku tertanya. “Kalau Es bencikan papa, gambar ni takkan ada di sini.” Ayah Cik menuding jari kearah gambar papa yang kuletakkan diatas meja belajar. Aku kehilangan kata. Ayah Cik begitu mudah memerangkapku. “Es, Ayah Cik tahu. Es memang ingin bertemu papa. Tapi Es tak mahu mengakuinya. Ayah Cik tahu, setiap malam gambar inilah yang akan Es peluk. Kenapa Es tidak melakukannya sekarang.” Aku terdiam. “Ayah Cik, kenapa dulu papa buang Es?” aku bertanya dengan juraian airmata di pipi. “Kenapa Es tak pernah mengenali papa sejak kecil? Kenapa papa tak suka Es?” soalku bertalu-talu. “Papa tak buang Es. Papa tak pernah buang Es. Papa pergi kerana terlalu kecewa dengan diri papa sendiri. Papa marahkan diri papa, kerana papa penyebab kematian mama. Kalau tidak kerana keegoan papa, mama masih hidup sehingga sekarang.” Tiba-tiba papa masuk dari pintu bilik. Aku terkejut. “Es, pastinya Ayah Cik dan Ayah Su dah bercerita mengenai kemalangan yang menimpa arwah mama, kan?” aku mengangguk perlahan. “Sewaktu kemalangan tu, papa telah meninggalkan mama. Mama mengejar papa dari belakang, dengan membawa Es. Sewaktu mama melintas, sebuah kereta telah melanggar mama. Syukur, Es tak tercedera, tetapi mama parah dan meninggal.” Papa mengesat airmata yang berjuraian di pipi. “Papa salahkan Es, kerana ingin menyelamatkan Es, mama terkorban. Akhirnya papa sedar, salahnya pada papa. Papa yang terlalu ego.” Aku memeluk papa. “Papa, Es minta maaf. Es minta maaf.” Aku menangis dipelukan papa. Terlerai sudah kegala kerinduan yang terbuku dihati. “Eh, Ajui. Kau menangis?” Ayah Cik memandang Ayah Su. “Mana ada! Kau pandai je.” Ayah Su menafikan sambil menyeka airmatanya. “Alah, mengaku ajelah. Akhirnya, kau menangis.” Ayah Cik ketawa. “Kalau Es nak tahu, Ayah Su ni dari kecil lagi susah nak menangis. Tak pernah sekali dia menangis. Tapi rekod yang dipegang selama 33 tahun sudah lebur.” Papa memberitahu. Aku menganggukkan kepala. “Es tahu. Ayah Cik pun selalu cerita.” Ujarku. Kami ketawa serentak. “Dah. Jomlah makan. Nenek dah masakkan lauk istimewa untuk kita.” Ayah Su cuba menukar topik. Mengelakkan diri dari ditertawakan lagi. “Nenek masak apa?” tanyaku. “Nenek masak sambal udang kegemaran kamu, dengan masak pucuk paku goreng.” Sahut nenek dari luar. Nenek juga bergembira dan bersyukur dengan kepulangan papa kepangkuan kami. Kami bersama-sama turun ke dapur untuk makan malam...
Aku melihat ikan laga yang kutangkap petang tadi berenang-renang di dalam aquarium mini milikku. Dengan bekalan oksigen dari mesin yang ku ubah suai dan rumpai yang ku kutip, dia kelihatan ‘terkejut’ dengan dunia barunya. Lebih sophistikated. Dengan hiasan batu dan serpihan kayu yang kukutip di tebing sungai, aquarium yang kosong mula bertukar wajah. “Ikan laga. Lama papa tak cari ikan laga.” Aku tersentak. Papa mengambil tempat disebelahku. “Waktu kecil-kecil dulu papa selalu juga tangkap ikan laga. Papa letak dalam balang, bagi makan setiap hari. Sampai satu masa, bila papa dah bosan tengok dia hari-hari, papa lepaskan dia kembali.” Aku asyik mendengar cerita papa. Papa melihat corong oksigen hasil kreativitiku. “Es beli kat mana ni?” papa bertanya ingin tahu. mungkin sedikit musykil dengan corong oksigen yang berada dalam akuariumku. “Es tak beli, Es buat sendiri. Cuma Es beli peralatan untuk semua ni.” Papa memandangku. “Really? Wow, that awesome.” Puji papa. Aku tersenyum. “Papa ingat nak buat ni sebagai sampel. Untuk pelajar papa. Biar mereka semua rasa tercabar dengan diri mereka sendiri.” Aku melihat papa sangat berminat dengan hasil kerjaku yang tak seberapa. “Papa jadi cikgu kat Jepun?” aku bertanya ingin tahu.sekurang-kurangnya aku lebih rapat dengan papa. “Lecture. Papa pensyarah kanan di Universiti of Tokyo. Bahagian kejuruteraan. Nanti kalau Es dah besar boleh belajar di sana.” Aku tersenyum memandang papa. “Es ingat nak sambung di sini je kot. Malaysia pun tak kurang hebatnya di bidang kejuruteraan. Jadi Es mahu jadi antara jurutera anak melayu yang berjaya. Macam Ayah Cik dan Ayah Su. Jadi peguam anak melayu yang berjaya.” Aku membayangkan impian yang kulakar seadanya. Papa menghampiriku dan memaut bahuku erat. “Papa bangga dengan Es. Memang Es anak yang baik. Ayah Cik dan Ayah Su memang pandai mendidik Es.” Papa memandangku. “Papa bercuti sampai bila?” aku bertanya. “Papa cuti tak lama. Hujung minggu ni papa dah balik Jepun. “Papa tak mahu tinggal kat Malaysia lagi?” soalanku membuatkan papa ketawa senang. “Bukan papa tak mahu. Papa akan tinggal kat sini selama-lamanya. Cuma masanya belum tiba. Mungkin tak lama lagi.” Aku memandang riak wajah papa hening. Meneka-neka apakah yang bermain di fikiran papa. “Okay. Papa nak tidur. Es tak nak tidur ke?” papa mula menarik selimut. Aku menuruti papa. “Night.” Papa mengucup dahiku...
“Terima kasih Ajil, Ajui. Kamu berdua telah berjaya mendidik dan menjaga Eskandar. Abang terharu mendengar dia membaca al-Quran tadi. Dia anak yang baik. 12 tahun abang sia-siakan dia, tapi dia tidak pernah disia-siakan. Kamu berdua sudah berjaya membentuk Eskandar. Kalau dah berjaya mendidik anak buah, bila lagi mahu mendidik anak sendiri?” Aku mendengar perbualan antara papa, Ayah Cik dan Ayah Su. “Kalau Abang Ejal tanya Ajil, Ajil tunggu Ajui. Tunggu abang.” Ayah Cik bersuara. “Abang dah tak fikirkan lagi semua tu. Dah out of date. Ajui pula, bila lagi?” Tanya  papa. “Ajui lambat lagilah abang. Yang Ajil ni, apahal pulak kau tunggu aku. Sepatutnya aku ni yang tunggu kau. Kau kan abang. Jadi kau yang kena dulukan. Ikut turnlah” Kedengaran Ayah Su seakan memprotes keputusan Ayah Cik. Aku tersenyum sendirian. “Aku ni banyak tanggungjawab. Karier aku... dengan mak... Es... manalah aku ada masa nak fikirkan semua tu.” Ayah Cik memberi alasan. “Alasan kau tak boleh pakai. Tak releven.” Ayah Su membantah. “Aku ni bukan macam kau. Kau lain, Cikgu Fitriah dah menunggu.” Selar Ayah Cik. “Iyelah. Kau tu jual mahal. Mak dah nak aturkan kau dengan sedara sendiri tak mahu. Bukan calang-calang orang. Pegawai bank tu. Kerja pun sebelah pejabat je.” Ayah Su mencemik. “Siapa? Abang tak tahu pun.” Giliran papa menyampuk. Aku masih tekun mendengar perbualan mereka. “Nur Zulaikha. Anak Pak Ngah Usop hujung kampung sana. Bagus orangnya. Baik, solehah, berbudi bahasa...”. “Sudah. Cukup. Jangan nak buat cerita okay. Aku dah...” suara Ayah Su terhenti di situ. “Kau dah apa. Jangan cakap yang kau dah punya yang berkenan dihati.” Ayah Su menyampuk. “Aku...Aku dah nak keluar ni. Aku janji dengan Eskandar nak bawa dia keluar. Abang Ejal, Flight abang esok pukul berapa?” Ayah Cik mula berdiri. Aku keluar dari bilik. “Tukar topik. Alasan klise.” Selar Ayah Su. “Flight esok jam 12. Boleh ke kamu tolong hantarkan abang, Ajil? Kalau tak abang ambil teksi je. Bukan jauh pun.” Papa memberitahu. “Ajui tak ada apa-apa esok. Lusa je ada perbicaraan. Bolehlah hantarkan abang ke airport. Es pun boleh ikut sekali. Tak perlulah abang membazir tempah teksi.” Ayah Cik memaut bahuku. Papa mengangguk perlahan, tanda setuju. “Okay. Kami keluar dulu.” Ayah Cik meminta diri...
Suasana di lapangan terbang sesak dengan pelbagai ragam. Semuanya mempunyai tujuan masing-masing, begitu juga diriku. Menghantar pulang papa setalah beberapa lama papa bercuti bersamaku. “Es anak papa. Papa balik dulu. Nanti ada apa-apa hubungi papa. Nanti kita boleh chatting facebook, berbalas email, atau telefon.” Aku mengangguk perlahan. “Nanti papa ada masa papa akan balik juga.” Ayah Cik memaut bahuku. “Salam papa, Es.” Arah Ayah Cik. Aku hanya menurut. Papa memelukku erat. “Jaga diri. Dengar cakap Ayah Cik, Ayah Su dan nenek. Jangan nakal.” Pesan papa. “Ajui, Abang Ejan balik dulu.” Ayah Cik menganggukkan kepala. Mereka bersalaman dan berdakapan. “Jumpa lagi. Jaga diri.” Ayah Cik memandang papa. Papa masuk ke balai berlepas. Sempat juga papa menoleh dan melambai kearah kami. Entah mengapa hatiku rasa sayu. Sayu melihat papa yang semakin hilang di pandangan mata...
“Eh, aku dengar papa kau ada balik. Betul ke?” aku memandang Fazrie yang sedang mengunyah karipap yang dibeli. “Yelah. Tapi semalam dia dah balik Jepun balik.” Aku seakan kecewa. Sememangnya aku kecewa. Tempoh 2 minggu tidak cukup untuk aku bermanja dengan papa. Dan di kala ini, kerinduanku pada papa menerpa. “Tak apalah Es. Nanti kau suruhlah papa kau berpindah ke sini. Aku pun nak mengenali papa kau juga.” Hakimi mencadangkan. “Papa aku kerjalah. Bukan boleh pindah sesuka hati.” Aku memberitahu. “Es, papa kau kerja apa?” pertanyaan Hakimi membuatkanku semakin merindui papa. “Pensyarah Tokyo Universiti, bidang kejuruteraan. Tapi papa aku balik bila berkesempatan. Bila dia bercuti.” Aku memberitahu. “Wah, beruntungnya kau. Papa kau pensyarah. Kau tak teringin nak pergi Jepun ke?” Hakimi seakan mengagumi. “Tak naklah. Aku lebih sayangkan Malaysia. Dekat sini aku ada ramai kawan, ada Ayah Cik, ada Ayah Su, ada nenek. Boleh ceri ikan di bendang. Boleh berlari-lari di petak sawah. Kat Jepun tak ada semua tu. Eh, korang dah siapkan latihan tempohari?” aku bertanya. Hakimi dan Fazrie mengangguk hampir serantak. “Baru buka sekolah, tapi kerja sekolah dah belambak.” Rungut Fazrie. “Apalah kau ni. Kita ke sekolah untuk pandai. Sebab itulah cikgu bagi kita banyak latihan. Bukan untuk siapa pun. Untuk kita juga.” Bebel Hakimi. Aku tersenyum melihat gelagat kedua-duanya...
Aku menyiapkan kerja sekolahku. Sejak sekolah dibuka dua minggu yang lalu, aku dihujani dengan kerja sekolah yang bagaikan tiada akhirnya. Deringan telefon berhampiranku tidak kuendahkan. “Kenapa tak angkat telefon ni Es...” Nenek menghampiri dan mengangkat perlahan. “Hello. Waalaikummussalam. Ajui... balik makan tengahari ni? Oh, ye ke. Eskandar? Ada... tengah buat kerja sekolah dia. Sibuk nampaknya. Apa dia? Ya ALLAH... Bila?” aku melihat riak wajah nenek berubah. “Ya ALLAH...” Aku memandang nenek kehairanan. Nenek menangis? Aku mendapatkan nenek. “Kenapa, nek?” nenek memegang bahuku. Airmatanya berjuraian jatuh. “Es... cucu nenek...” nenek memeluk diriku yang masih tidak mengerti apa-apa...
Aku berdiri kaku. Tanpa suara, tanpa rasa. Ayah Cik, Ayah Su dan nenek menyiram air mawar di pusara papa. “Es, cucu nenek.” Aku cuma memandang sayu. Dugaan ini terlalu kuat untuk diriku... menyaksikan pusara dua insan yang selama ini kudambakan kasih mereka. Mama dan papa disemadikan bersebelahan. Andai dahulunya kupasrahi hati untuk menerima diriku sebatang kara dan bergantung kasih pada nenek, Ayah Cik dan Ayah Su, kini lebih terasa kehilangannya. Terasa semalam hangat tangan papa yang kusalam dan kucium. Namun ku harus berpijak di bumi nyata. Papa sudah pergi bersama kasihnya yang belum puas kunikmati. Kemalangan ngeri telah meragut nyawa insan yang paling kusayangi, bersama cebisan kenangan dan kasih yang baru menjemput hati. Semua kenangan manis bersama papa terakam di memoriku. Masih terngiang-ngiang di telingaku suara papa ‘Bukan papa tak mahu. Papa akan tinggal kat sini selama-lamanya. Cuma masanya belum tiba. Mungkin tak lama lagi’. Kini, masanya sudah tiba. Dan itulah maksud tersirat papa. Hanya tinggal nisan sebagai tanda, papa pergi buat selamanya. “Es, jangan sedih. Ayah Cik ada. Ayah Su pun ada. Nenek pun sama. Kami semua mahu melihat Es berjaya, seperti papa. Janji dengan Ayah Cik, okay?” Ayah Cik menyeka airmatanya sambil memujukku, lembut dan tulus. Ayah Cik mendakapku erat. Tanpa sedar airmataku berjuraian di bahu Ayah Cik tanpa mampu kutahan. Papa, andai hadirmu tidak pernah kuimpi, pemergianmu tetap kuratapi. Catatan perjalanan kasih ini milik Yang Kuasa. Papa, akan kuterusi legasimu, mengejar cita-citamu yang selama ini diukir olehmu...al-Fatihah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...