Saturday, January 1, 2011

Warkah Pencinta


Aku hanya mampu memandang posmen berlalu pergi. Tanpa ada lagi utusan cinta untuk diriku. Melihatnya semakin menjauh. Sejauh cintaku yang tak pernah akan berkunjung lagi. Hati ini disayat sayu. Tatkala hanya warkah usang itu menjadi pengubat sebuah kerinduan. Ikhlaskah hati menerima khabar derita ini? Kenapa cinta itu menyapa dan berlalu pergi tanpa sempat ku merelakannya...
Warkah pertama kirimannya dibuka. Warkah huluran salam perkenalan. Salam ukhwah. Dengan niat suci,ingin mengenali. Tersenyum aku tatkala kecantikan bahasa dan santunan ayat warkah ini kubaca sepintas lalu. Menggamit kenangan yang takkan pernah berhenti bertamu...
"Ruhil Haryati?" Aku tersenyum malu. Sungguh,dia sangat tampan waktu itu. Berbaju T berkolar biru, dipadankan dengan seluar jeans dan kasut sukan putih. Gaya yang mampu menggugah nuraniku. Ketampanan yang tak mampu kunafikan dengan kata-kata. Terasa aku bukan gandingan selayaknya untuk dia. Bicaranya bagai baldu. Tuhan, ciptaanMU terindah. Sukar kugambarkan dengan bahasa jiwa. Ku dambakan insan persis dia. "Fakhrul Zahim?" Dia memandang dengan senyuman manis. Indah sunguh  senyuman yang menghiasi bibir mekar delimanya. Petanda bahawa dia bukanlah perokok tegar. Cukup menggetarkan jiwa. Memancarkan pesona. Auranya cukup membuai rasa. Perawakannya cukup membuatkanku terpegun. Dalam diam ku mengaguminya…
Warkah kedua terlihat kusam. Lantaran kemarahanku yang lalu, maka kertas kumal yang tidak bersalah itu menjadi mangsa. Zahim, aku terlalu ego untuk insan sebaikmu. Setiap kata-kata ku pasti membariskan sembilu buatmu. Namun kau tetap tega demi cintaku. Kembali ku merapikannya, serapi cintaku yang tak pernah kunjung padam...
“Kenapa perlu kita berpisah.” Airmata ini enggan ditahan. Walaupun keegoan ini tingginya menongkat langit, namun ia melebur di hadapannya. Dia kelihatan tenang menyambut hamburan kemarahanku. Sifatku tidak sesekali menjejaskan dirinya. Membiarkan ku larut dalam kelam airmata, lantas dihulur sehelai sapu tangan miliknya. Terkesima diriku melihat dirinya. “Hapuskan airmata itu. Airmata Haryati tak patut habis kerana ini.” Dia tersenyum. Seakan menjadi penawar, senyumannya memancarkan sinar. “Maaf. Haryati terlalu beremosi.” Kulihat senyumannya semakin mekar di bibir delima itu. “Zahim faham. Wanita dicipta penuh emosi. Dan kerana itu wanita istimewa.” Tertunduk diri mendengarnya. Bagai terancap sebuah hati. “Zahim tak mampu menjanjikan apa-apa. Cuma sebuah kesetiaan.” Matanya melirik kearah surat tawaran kursus penerbangan. Sedang diri hanya terlontar ke kota besar. Menyambung pengajianku di bidang perundangan. Pertemuan yang bakal membawa kepada sebuah perpisahan yang belum tahu dimana penghujungnya...
Warkah ketiga kubuka perlahan. Indah sekali coretannya. Coretan dari jauh. Coretan yang kudambakan acapkali kerinduan menerpa. Kiriman kali ini dari Perth, Australia. Dia sudah mampu mengemudi pesawat penumpang kala ini. Indahnya kehidupan, tatkala ceritanya berkisar mengenai kecintaannya terhadap dunia barunya yang sangat diimpikan. Namun diri ini terlalu merindu...ku rindukan dia! Lirikan tenangnya, lembut suaranya dan syahdu jiwanya membuatkan diri ini tidak keruan. “Zahim...” hanya itu yang teracap dari bibir bersama sebuah kerinduan tanpa penghujung...
“Haryati tak banyak berubah...” Zahim tersenyum memandangku. Bicaranya terhenti di hening waktu. Aku melihatnya mengelus lembut rambutnya yang hampir mencecah kolar baju. Dengan trend gaya rambut terkini, dia kelihatan lebih bergaya dari kebiasaannya. Kebiasaan yang memperlihatkan dirinya sebagai seorang lelaki sejati yang mampu menerpa masuk kedalan setiap hati wanita yang mendambakan cinta dan kasihnya. Sedikit hatiku tercuit cemburu. Pastinya, aku semakin sukar untuk meyakini cintanya. Biarpun dirinya seringkali mencuba untuk memberi keyakinan dan jawapan yang pasti, namun ia belum cukup untuk menyajikan sebuah wadah enak untuk ku. “Tahun depan Zahim nak masuk meminang Haryati. Zahim tak mahu Haryati terlepas ke tangan orang lain...” sekuntum senyuman menghiasi bibirku, petanda berita gembira itu mendapat restu. Kutahu dirinya cukup serius merencana setiap apa yang diingini, dan ku cukup bahagia untuk itu. Kerana ku punya dia, kekasih yang cukup sempurna dimataku...
Mataku melewati setiap bait puisi yeng tercipta untukku bersama warkah keempat yang sangat ku hargai. Bahasanya indah, seindah dirinya mengekspresi diri. Hanya untukku. Tanpa sedar diri ini terlanjur memberi rasa pada setiap kata-kata indah itu. Segar dan indah kurasakan dunia ini tatkala bait puitis cinta itu menjadi nadi...
Seandainya cinta itu dapat diukir...
Ukiran cintaku adalah kamu...
Seandainya cinta itu dapat digengami...
Gengaman cintaku adalah kamu...
Seandainya cinta itu dapat dicoret...
Coretan cintaku adalah kamu...
Seandainya cinta itu dapat diterjemahkan...
Terjemahan cintaku adalah kamu...
Seandainya cinta itu dapat dipandu...
Panduan cintaku adalah kamu...
Seandainya cinta itu dapat dilafazkan...
Lafaz cintaku adalah KU CINTA KAMU...
Kerana cinta kamu adalah nafas nadiku...
                                               ~Fakhrul Zahim~

“Kenapa begitu sukar untuk awak menerima saya, Haryati?” aku memandang Hilmi. “Saya tak pernah punya jawapan untuk itu.” Aku mengemas buku-buku yang masih bertaburan. “Kenapa? Saya tak cukup kacak ke untuk awak? Saya tak cukup baik ke utk awk?” aku mula berdiri dan ingin memulakan langkah. “Haryati! Nanti dulu. Saya belum berpuashati tanpa jawapan awak!” Hilmi memaut lenganku kemas. “Haryati...” Aku pantas menoleh. Menoleh kearah suara yang sangat ku kenali. Terpanar seketika Zahim memandang Hilmi. “Kau siapa?” Hilmi bertanya. Zahim tersenyum. “Saya sepupu dia. Datang membawa pesanan dari kampung. Kau pula siapa?” ku memandang Zahim terkejut. Zahim... “Aku Hilmi. Kekasih Haryati. Selamat berkenalan.” Sebal wajahku mendengar pengakuan berani mati Hilmi. Zahim masih mampu tersenyum manis. “Baguslah. Semoga berbahagia. Aku macam menggangu saja. Aku minta diri dulu.” Aku melihat Zahim berlalu pergi. Hilmi masih enggan melepaskan lenganku. “Awak ni..memang melampau!” marahku enggan dibendung lagi. Terus aku menyentap lenganku dan mendapatkan Zahim. “Zahim, dengar dulu penjelasan Haryati. Zahim!” aku memaut lengan Zahim. Zahim mematikan langkah. Tanpa menoleh kearahku. Ku tahu jiwanya terdera. Apatah lagi melihat sandiwara tadi. Andai ku mampu bertegas, Hilmi takkan sesekali berani bertindak sejauh itu. Dalam diam ku mengutuk diriku sendiri. Kejutan darinya untukku memberi tamparan kepadanya. “Zahim faham. Selama ini Zahim selalu abaikan Haryati. Zahim sibuk bekerja. Sibuk terbang sana sini. Tak pernah memikirkan Haryati. Cuma memikirkan mengenai kerjaya Zahim.” Kulihat matanya seakan berkaca-kaca. Mengambarkan jiwanya yang perit menelan kekecewaan. “Zahim akan lepaskan Haryati kalau itu yang Haryati mahukan.” terpaku ku mendengar ayat keramat itu. “Zahim... Zahim... Zahim!” perlahan dia meleraikan pautanku. Meninggalkanku bersama sejambak bunga yang dibeli khas untuk ku. “Zahim...” empangan airmataku gagal ditahan. Menangisi sebuah cinta. Zahim... kembalilah... Zahim...
Warkah kelima kubaca perlahan. Penuh bermakna. Dengan ucapan maaf tanpa hentinya. Setiap tutur ayat akan menukilkan kekhilafan dirinya yang seakan terlalu disesali lagaknya. Zahim... itulah dia, dirinya yang membuatkan diriku terpempam dek pesona cinta insan istimewa ini. Senyumanku memekar apabila melihat gambarnya yang dikirimkan bersama. Dia memang kacak. Segak beruniform juruterbang, dia cukup bergaya dengan sederhana. Menatap gambar keduanya membuatkan ku tertawa sendiri. Lagak selamba dirinya berdiri di hadapan enjin pesawat membuatkan diriku tidak berhenti mengukirkan senyuman. Namun gambar ketiga membuatkan hatiku dicuit rasa cemburu. Ku akui, anak-anak kapal yang bergambar bersamanya sangat manis dan cantik. Jauh bezanya mereka dan diriku ibarat langit dan bumi. Bulan dan matahari. Minyak dan air. Sedikit sebanyak ku membandingkan diriku dan mereka. Zahim, terusikkah hatimu pada kecantikan mereka? Zahim...
Zahim tersenyum melihat wajahku dijamah mentari. Kemerah-merahan menahan terik mentari yang memberikan sinar tanpa ada celanya. Perlahan dia mengeluarkan sapu tangan miliknya dan mengesat peluh yang merenik di dahiku. “Kita ke bangunan sana...” ajaknya. Aku Cuma menurut. Sungguh, dia tidak sanggup membiarkan diriku terusan dipanah terik mentari. “Haryati! Hati-hati!” terus dia menolak diriku ke bahu jalan. “Zahim dah cakap! Hati-hati!” dia membelek diriku. “Ada luka?” aku terdiam melihat reaksi dirinya. Menggelengkan kepala menandakan tiada kecederaan yang kualami. Sejujurnya ku sedikit tersentap dengan reaksi spontan Zahim yang ku kira sedikit terkasar. “Lain kali melintas jalan tengok kiri kanan. Ini melintas jalan macam budak-budak!” terusan ku menadah telinga mendengar bebelan Zahim. Tanpa sepatah kata jawapan untuk mempertahankan diri. Zahim memandangku sekilas. “Tegur sikit, merajuk. Samalah dengan yang lain tu.” Aku tersentak. Sama dengan yang lain? Apa yang cuba disampaikan olehnya? Aku cuba memahami namun gagal. “Perempuan semua sama je. Suka merajuk, kemudian nak dipujuk. Hey, penatlah melayan kerenah kaum perempuan ni!” aku terkejut mendengar kata-kata itu lahir dari mulut Zahim. “Zahim kenapa? Tiba-tiba naik angin pula ni?” aku enggan beralah. Kenapa kesalahan sekecil huma dijadikan sebesar-besar naga? Perlahan Zahim menghela nafas panjang. “Kita baliklah.” Jawapan yang diberikan Zahim enggan diterima oleh akal ku. Aku hanya membatu. Membisu. “Haryati, Zahim penat. Tolonglah fahami Zahim.” Suaranya mengendur. “Zahim penat Haryati kena faham. Habis, siapa nak faham Haryati?” aku menjauhi Zahim. “Haryati... sayang, kenapa ni?” Zahim cuba memujuk. “Pergilah balik. Haryati boleh balik sendiri.” aku meninggalkan Zahim sendiri. “Haryati... Haryati... Haryati!” Aku enggan menoleh lagi. Biarlah. Hatiku dijamah kecewa lagi...
Melihat warkah keenam yang kunjung tiba, kukira inilah warkah pengakhiran untuk sebuah cinta. Ku merendam rasa lagi. Tumpuan kini terarah kepada pengajianku yang hanya tinggal baki sahaja. Warkah kali ini juga kelihatan biasa, tanpa ada yang istimewa dari sisi lainnya. Hanya cukup untuk melengkapi sebuah tanggungjawab sebagai seorang tunang kepada tunangannya. Aku mula merasa kelemasan menghantui tatkala terikat dalam hubungan sebegini. Tuhan, berilahku hidayahMU...
“Ruhil dan Zahim bergaduh ke?” ku tersentap ditebak soalan begitu dari Abah. Mama hanya memandang penuh curiga. Aku tunduk, mendiamkan diri. “Tak adalah.” Nampaknya Abah dan Mama dapat menghidu adanya kekurangan itu pada hubungan kami. “Zahim ada datang rumah masa Ruhil keluar temankan adik tadi. Dia kata dia akan ke Cambridge 7 bulan. Tak pernah dia tinggalkan Malaysia selama itu. Paling tidak pun sebulan seminggu dia akan balik untuk jenguk Ruhil.” Aku tersenyum seribu erti. “Dia ada beritahu Ruhil yang dia terpaksa buat latihan di Cambridge. 7 bulan je Ma, Abah. Tak lama pun. Nanti da habis nanti latihan dia baliklah.” Abah mula menunjukkan tanda-tanda berpuas hati dengan jawapanku. Tetapi sebaliknya di raut wajah mulus Mama. “Ruhil tak bohongi Mama, kan?” Aku mengangguk perlahan. “Mama pun, Zahim pun cakap perkara yang sama. Maknanya betullah tu.” Aku tersenyum mengangguk. Walaupun ku dan Zahim punya rahsia tersendiri. Zahim, entah mengapa jiwa ini sentiasa bergetar tatkala dirimu diseru. Jantung ini berdegup kencang tatkala wajahmu menerpa...
“Kita akan berpisah dalam 7 bulan ni. Zahim harap Haryati akan jumpa pengganti Zahim. Dan Zahim juga akan cuba mencari pengganti Haryati. Pertemuan ini mungkin menjadi pertemuan terakhir kita. Sebaik saja Zahim balik nanti, Zahim akan cari jalan terbaik untuk kita... berpisah secara baik.” Zahim membuka bicara tanpa menoleh kearahku. Bagai tiada sekelumit cintaku lagi memekari hatinya. Cinta yang tersiram dahulunya bagai sudah kering dipanas sahara. Betapa dia tega menjauhiku. Meledak keegoanku melihat dirinya seperti mencabar karismaku. “Okay.” Seruannya kusahut perlahan namun bernada tegas. Enggan mengaku kalah. Enggan mempertaruhkan keegoanku yang semakin membentengi hubungan genting ini. Sejak dari dahulu lagi hubungan ini terlalu banyak pasang surutnya. Bagaikan meniti belati. Berjauhan dengan Zahim membuatkan jiwaku dijeruk rindu, lantas merubah setiap kemanisan menjadi racun yang bernanah di hati. Zahim seakan lebih mencintai kerjayanya dari diriku. Terkadang kurasakan ku hanya picisan. Sebagai tanda dia punya hati dan perasaan. Namun luaran saja kelihatan indah. Di dalam hanya Tuhan yang mengetahui. Hati ini bagai tersiat dek kerana peritnya sebuah cinta yang sukar bertemu noktahnya. Zahim yang ku kenali sebagai seorang lelaki yang sempurna, kini bagaikan tercalar dan merosak kesempurnaannya. Adilkah aku menidakkan cinta ini? Tidak! Jika cinta tak perlu derita. Dan aku sudah memilih untuk tidak menempuhi derita itu. Jika derita perlunya dilempar jauh. Arghhhh! Aku terpempam... cinta itu derita. Dan aku derita kerana cinta... cinta Zahim membuatkan aku sengsara, terpenjara, terseksa. Inikah cinta? Lalu ikrarku pada diri, enggan jatuh untuk cinta buat kesekian kali.
Warkah terakhir ini tersimpan sebuah hikayat kasih tiada tara. Warkah inilah bukti sebuah cinta yang tidak pernah terungkapkan. Zahim, dosanya aku menidakkan rasa. Kini, ku benar-benar sengsara tanpa cinta! Lalu airmata gagal menutupi setiap kesakitan jiwa... tergambar dalam kelam pesona manik jernih menodai pipi... Zahim, kurniaan sempurna yang telah dipersia...
“Zahim nak balik. Haryati tak mahu berjumpa dengan dia?” pertanyaan Ummi, ibu Zahim mengoncang rasa. “Yelah kak. Minggu depan abang balik. Dia nak belikan Zairi motorsikal. Sebab Zairi dah lulus lesen memandu.” Wajah ceria Zairi, adik kandung Zahim cukup mengambarkan betapa mereka merindukan Zahim. Aku? Cuma tersenyum tanpa secalit perasaan. Benarkah perasaan itu? Atau hanya tersadur keegoan melangit? Namun hati mereka perlu dijaga seadanya. Ku tahu tujuan Zahim kembali. Dan ku harus bersedia untuk itu...
Masih ku ingat malam itu. Segala kulakukan serba tak kena. Hati ini diamuk resah. Kenapa? Adakah kerana berita sekembalinya Zahim dari perantauan membuatkan diriku tidak keruan? Enggan melayani perasaan, ku teruskan kerjaku yang tidak pernah kunjung habis. Bunyi telefon membuatkan degupan jantung semakin ketara. Semakin kencang. Semakin tidak keruan. Ku melihat nombor yang tertera. Ummi? Perlahan ku menyambut panggilan. “Assalamualaikum, Haryati. Zahim kemalangan. Dia di hospital sekarang.” Nadiku seakan berhenti dari meneruskan kerjanya. “Haryati datang ke hospital sekarang.” Aku menjawab longlai. Lemah seluruh anggotaku. “Zahim okay. Cuma cedera ringan. Haryati tak perlu bimbang. Dah malam ni. Esok saja melawat Zahim. Nanti Ummi telefon untuk Haryati bercakap dengan Zahim ye.” Sopan tutur Ummi menjauhkan kegusaranku. Aku menarik nafas lega...
Suara Zahim cukup ceria menerjah gegendang telingaku. Bagai tidak merasai kesakitan kerana kemalangan, malah rancak bercerita bagaimana kemalangan berlaku. Dia enggan menyalahkan pemandu lori yang menekan brek secara tiba-tiba, namun menyalahkan diri kerana tidak sempat mengelak dengan baik. Lalu dia ditelan di bawah perut lori dan terseret sejauh 50 meter kehadapan. Tuhan, mujur Zahim tidak mengalami kecederaan teruk, hanya sedikit calar, katanya. Dan janjiku, keesokan hari akan ku lawati dia. Zahim, dirimu takkan pernah berubah. Tetap seperti dulu. Dan kusedari, ku masih menyayangi Zahim dan menyintainya sepenuh hati. Zahim, tidak lengkap hidupku tanpa cintamu...
Jam merangkak ke jam 3 pagi, namun mataku enggan lelap walau sepicing pun. Kenapa? Jiwaku diburu resah yang tiada berpenghujung. Deringan telefon yang panjang membangkitkan rasa gelora jiwaku. Ummi? Perlahan ku menyambut. “Hello Ummi.” “Har... Zahim... Dah tak ada... Dia... Ada komplikasi dalaman... ” berita itu terus menyentap ke tangkai jantungku. Membuatkan nadiku bagai enggan berdenyut. Runtuhnya sebuah keegoan bersaksikan airmata yang tak mampu dibendung lagi. Zahim, Haryati sayangkan Zahim... Zahim...
Pusara itu menjadi tanda bersemadinya jasad insan yang kusayangi. Warkah terakhir yang mampu kukirimkan hanya Yaasin dan al-Fatihah buat insan yang selama ini menjadi perutusan cintaku yang terluhur. Zahim, setulus nama, insan ini memberi nyawa kepada cintaku. Menyuluh cahaya pada setiap denyut cinta, merakamkan sebuah kasih tiada tara. Hadirnya sempurna, tanpa ada cela di mata. Zahim, kurniaaan yang memberikan sinar kebahagiaan pada setiap insan dengan fitrah kasih dan sayang yang tiada tara. Tanah merah ini, semerah cintanya yang terus membara bersama rasa... Zahim, semangat cintamu membara kerana kasih kita... bertemu tanpa dusta... perginya dirimu membawa lara hati yang enggan terubati...

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...