Saturday, October 1, 2011

Cinta yang pergi...

(rindasahara:cerita ini adalah rekaan semata-mata...tiada kaitan antara yang hidup atau yang sudah meninggal dunia)


Aku masih leka menaip. Segala kerja perlu disiapkan hari ini-laporan bulanan, kemaskini fail pekerja, sehingga ke fail iventori. Awal bulan sebegini adalah waktu paling sibuk untuk diriku, waima makan juga ada kalanya aku terlupa. Namun itulah yang paling aku sukai. Menjadi seorang yang sibuk engan karier sendiri...

“Ros tak pulang lagi?”

Aku menoleh. Kak Haleda tersenyum. Ketua kerani di jabatanku ini sangat mengambil berat tentang diriku, sakit pening, makan minum, tangis dan tawaku. Dia bagaikan seorang kakak untuk diriku. Segala mengenai diriku akan diambil peduli. Kebetulan yang pasti, kami tinggal di kawasan apartment yang sama...

“Sekejap lagi kak, nak buat kerja ni. Awal bulan kan waktu sibuk.”

Kak Haleda menggangguk.

“Jangan lewat sangat balik tu. Kalau ada masa nanti singgahlah rumah kak. Kak masak gulai ikan pari.”

Aku cuma menggelengkan kepala.

“Diet, kak. Tak boleh makan malam.”

Pecah ketawa Kak Haleda.

“Kamu nak diet? Sudahlah, kurus kering kak tengok kamu tu.”

Aku masih tersengih.

“Kak balik dulu. Nak singgah rumah telefon. Tak singgah pun telefon,ye?”

Aku menggangguk. Kak Haleda hilang dari pandangan. Sempat aku menghirup secangkir nescafe yang telah lama bertapa di atas meja kerjaku. Airnya juga sudah sejuk, kesan suhu rendah dari hawa dingin di bilikku ini. Sesejuk jiwa yang sudah mati. Aku bangun menuju ke arah tingkap. Menjamah ketenangan dari luar kotak kaca ini. Cantik menghadap laut. Indahnya alam ciptaanNya, getusku. Sesekali aku membetulkan anak rambut yang menghalang pandangan mata. Sejenak ku teringat, sudah lima tahun diriku berkelana di daerah asing ini. Mencari harga sebuah kejayaan. Karier yang kuimpikan. Tanpa dorongan dan kekangan sesiapa. Bunyinya kasar, namun itulah yang kudambakan. Kepayahan hidup berkelana mencabar diriku, berusaha seutuhnya. Aku tersenyum sendiri. Biarlah kepahitan itu berlalu. Aku tak ingin mengenangi masa lalu...


Lampu apartmen dibuka. Terserlah pesona minimalis ruang tamu yang ku zahirkan dari ilhamku sendiri. ringkas, cukuplah untuk diriku yang sememangnya serba ringkas. Sempat ku menoleh kearah jam di dinding. Sudah menghampiri jam sepuluh. Cepat sungguh masa berlalu. Daerah ini mula sunyi dari hiruk pikuk manusia. Walaupun masih ada yang belum melangsaikan tugasan sebagai insan, namun sedikit sebanyak bayu malam menyelimuti kesunyian. Aku perlu segera membersihkan diri. Kepenatan menghambat masa membuatkan badanku enggan berdalih, memerlukan rehat untuk mengekalkan kecergasan menempuhi hari esok. Mesyuarat seawal pagi, diikuti dengan seminar dan demostrasi latihan sebelah tengaharinya. Petang menunggu dengan hi tea bersama tamu VIP, dan malamnya perlu memastikan perjalanan makan malam di dewan santapan berjalan lancar. Seusai mandi, aku terus melelapkan diri...tidurlah diri, esok menanti dengan penuh variasi...
~~~~~~~~(***)~~~~~~~~

“Cik Ros Alinda, terima kasih atas kelancaran majlis malam ni. Saya berterima kasih.”

Dato’ Razali tersenyum memandangku. Aku mengangguk. Menghargai pujian yang dilemparkan.

“Itu sudah menjadi tugas saya. Memastikan kepuasan pelanggan sentiasa diutamakan.”

Aku membalas sopan. Dato’ Razali memberi isyarat kepada seseorang. Kelibat seorang pemuda kacak berkaca mata menghampiri kami.

“Cik Ros Alinda, ini anak saya, Razif. Razif, inilah Cik Ros Alinda yang papa ceritakan pada kamu. Dialah Pegawai Kanan Customer Service di hotel ni.”

Aku menggangguk perlahan. Razif menghulurkan tangan, berjabat tanda perkenalan. Aku menyambutnya dengan senyuman.

“Razif...”

“Ros...”

Pandangan kami bertaut. Aku tetap membatasinya. Itu caraku. Jangan bertingkah gaya di laman karier. Ikrarku sebagai profesional. Razif kulihat seorang yang agak baik. Dari cara dirinya berjabat tangan, ku dapat merasakan Razif seorang yang boleh dipercayai. Pandangan pertama. Semuanya positif saja.

“Lain masa saya boleh booking hotel ni lagi for any occasions. Servis terbaik.”

Aku tersenyum. Enggan mengiyakan. Tidak juga menafikan. Selagi pelanggan berpuashati, matlamat dan kepuasan karierku tetap di momentum tertinggi.

“Cik Ros dah berpunya?”

Aku tersentak ditebak soalan yang menyentap tangkai jantungku. Dan hanya senyuman yang terukir. Aku enggan memberi jawapan yang pasti.

“Saya mahu ke dapur sebentar. Memantau perjalanan di sana. Excuse me.”

Aku berlalu meninggalkan dua beranak itu mencanak sendiri status diriku...

~~~~~~~~(***)~~~~~~~~

Hari Sabtu nan ceria. Matahari seperti biasa memberikan sinarnya menerangi bumi. Seawal pagi aku telah menjengah lobi hotel. Memantau perjalanan pekerja dan operasi. Sekurang-kurangnya jika ada apa-apa masalah dapat diselesaikan dengan baik. Aku meneliti laporan kawalan kualiti hotel. Masih banyak yang perlu diperbaiki. Terutama servis kaunter dan servis bilik. Aku mengatur jadual minggu depan untuk mengisi slot pertemuan bersama mereka. Memberi sedikit motivasi untuk mereka memperbaiki diri...

“Cik Ros. Kita ada tetamu...”

Latifah, penyelia bahagian kaunter hadapan memaklumkan. Aku membelek diari peribadi milikku.

“Ya, kita ada lawatan industri dari UiTM, kan? Berapa orang yang datang semuanya?”

“45 orang dan 2 pensyarah yang mengiringi mereka. Dari Program Pengurusan.”

Lengkap laporan Latifah. Aku menggangguk faham.

“Baiklah. Minta mereka dikumpulkan di dewan seminar satu untuk taklimat.”

Aku menutup diariku. Latifah sudah awal mendahului. Aku membetulkan rambut dan solekanku sedikit. Agar nampak lebih segar dan bersifat korporat. Agar mereka melihat diriku sebagai seorang yang patut berada di sini. Langkahan kemas diatur sebaiknya menyambut ketibaan mereka...

~~~~~~~~(***)~~~~~~~~
“Ros...”

Aku tersenyum. Sedikit penat. Membawa pelajar UiTM melawat ke sekitar hotel sambil memberi penerangan kepada mereka sesuatu yang nampak mudah, tetapi memerlukan tenaga yang luar biasa. Aku melemparkan sebuah senyuman. Chef Zam melihat diriku dengan penuh simpati.

“Ros nak makan? Minum?”

Ketua Chef itu terlalu mengambil berat akan diriku. Aku mencapai gelas dan menuangkan air putih kedalam gelas. Chef Zam mengambil tempat di hadapanku.

Cappucino ada tak, bang?”

“Ada. Masih panas. Ros nak ke? Abang boleh tolong ambilkan.”

Aku tersenyum. Nampaknya rezeki menyebelahiku.

“Bolehlah. Satu. Cheese cake ada lagi?”

Aku mencuba rezeki. Jika nasibku baik, ada rezeki ku apa hari ini. Kek keju di hotel ini antara yang terbaik di sini. Aku jarang berpeluang menikmatinya, kerana selalunya akan habis sebelum masa. Di hatiku berdoa agar ada rezekiku hari ini.

“Ada. Abang akan simpan sedikit untuk Ros pada setiap Sabtu.”

Syukur! Teriak hatiku. Kulihat Chef Zam mengambil kek keju dari peti sejuk. Membuka seleraku yang sedari pagi belum menjamah makanan.

“Untuk Ros.”

Chef Zam meletakkan kek keju dan cappucino diatas meja. Aku tersenyum.

Thanks, bang.”

Chef Zam mengambil tempat di sebelahku. Menemaniku makan. Aku cuma tersenyum.

“Ros tak penat ke...ke hulu ke hilir buat kerja. Abang tengok Ros abang yang penat tau.”

Aku cuma menadah telinga. Enggan membantah. Hanya membisu sambil menikmati kek keju dan cappucino.

“Esok kerja?”

Aku menggeleng-gelengkan kepala. Enggan bercerita selebihnya. Kulihat Chef Zam menghela nafas panjang.


"Dah makan?"


Kebimbangannya seakan tiada noktah.


"Inilah baru nak makan..."


Aku tersenyum sambil menjamah kek keju. Chef Zam menggelengkan kepala.

“Abang ada kerja kejap. Nanti kita sambung lagi.”

Chef Zam berlalu meninggalkan diriku. Aku menghabiskan makanan ku. Selepas mencuci pinggan dan cawan, aku berlalu pergi. Sempat memberi isyarat kepada Chef Zam mengatakan bahawa aku akan pergi. Dia hanya mengangguk. Enggan menggangu Chef Zam yang sibuk di dapur. Perlahan ku mengatur langkah ke arah keretaku...

~~~~~~~~(***)~~~~~~~~

            Aku menikmati desiran angin bayu dan ombak. Kala ini kurasakan jiwa yang kosong terisi dengan bahagia. Walaupun seketika...namun bahagia. Sesekali tercalit senyuman menghiasi bibir. Ah, aku terlalu bermain dengan perasaan. Dan hanya itu yang tinggal untuk diriku. Pemergianku ke daerah ini bukan rancanganku. Aku di sini kerana cinta...cinta yang hambar. Kerana itu aku berkelana...

~~~~~~~~(***)~~~~~~~~

            Lapangan Terbang Antarangsa Kuala Lumpur sesak dengan penumpang yang tidak pernah putus. Aku mengambil tempat di penjuru. Melihat waktu berlepas berbaki tiga jam. Masih awal, getusku. Aku tahu, tindakan aku ini tidak sepatutnya kulakukan, namun ku tiada pilihan. Cukuplah, aku enggan menerima segalanya lagi...

“Kerja pun macam lalang lagi, ada hati nak ajar orang. Cerminlah diri tu dulu.”

Masih terngiang di telingaku kata-kata itu. Kata-kata yang mencucuk hati. Ya, jika dikira dalam keluarga, akulah yang paling tidak kukuh dari segi materialnya. Graduan baru yang sedang terkial-kial mencari kerja yang sesuai. Tidak seperti abang-abang dan kakak ku. Ketiga-tiganya sudah selesa dengan pekerjaan mereka, sebagai pendidik. Bergaji tetap dan berpencen. Juga adikku yang kini sedang tersenyum dengan dirinya yang berjaya menempatkan diri di institut pendidikan guru. Kerja sudah menanti, getusku. Cuma aku yang tidak bernasib baik seperti mereka. Namun kata-kata mereka sangat menyakitkan. Aku tidak sempurna seperti mereka. Dalam ramai-ramai anak ibu, akulah yang menyusahkan. akulah yang suka memberontak.

“Alang, kau ambil jelah KPLI. Masa depan lebih cerah. Ibu pun tumpang senang.”


"Alang nak kejar cita-cita alang. Sia-sia belajar ambil degree pengurusan tapi akhirnya jadi cikgu."


Aku membantah. Mempertahankan hak ku.


"Itulah. Kata-kata ibu tak nak dengar. Ingat sikit, selama hari ni engkau berhutang dengan aku. Semua perbelanjaan engkau di kampus dulu, tak ada ibu kau ni, kau tak kemana, tahu tak?"

Aku menutup mata. Pedih hati mendengar kata-kata ibu. Apakah selama hari ini setiap sen yang ibu keluarkan perlu aku kira? Kenapa mereka tidak memahami jiwa bebas milikku? Sukarkah mereka ingin memahami. Aku bukan tak mahu senang, seperti Along, Angah dan Kak Dee, tetapi jiwa pendidik bukan milikku. Aku tidak mahu anak didikku menerima bahana sepertiku satu ketika dahulu. Apabila kubuka, lantas manik jernih meluruh. Aku penat menanggung segalanya.

“Alin...kenapa ni...”

Aku menggeleng-gelengkan kepala.

“Alin okay...”

Shahir memandang mataku. Lelaki ini terlalu baik untukku. Dialah tempat luahan perasaanku tercurah. Namun pengakhiran cinta ini belum bertemu noktahnya. Entahlah,aku tidak mengerti. Mungkin dia masih mahu mengejar cita-citanya yang masih belum tercapai. Lalu hubungan bagai bergantungan di langit. Tanpa diketahui dimana akhirnya.

“Alin tak okay, kan?”

Aku kalah dengan dirinya. Shahir menghulurkan tisu. Meminta aku menyapu airmataku.

“Abang dah kenal Alin lama. Jangan tipu Abang.”

“Alin dah penat dengan semua ni. Alin nak pergi jauh...”

“Alin nak pergi mana?”

“Kemana saja. Jauh dari semua ni.”

Shahir mengeluh. Barangkali penat melayani kerenahku. Lama dia mendiamkan diri.

“Alin ikutkan ajelah. Tak susah kan.”

Lelaki. Senang untuknya berkata-kata. Mungkin dirinya sendiri nampak ‘kelebihan’ itu.

“Nantilah Alin fikirkan. Alin nak balik.”

“Marahkan abang sebab cadangkan yang bukan-bukan?”

Cukuplah menduga kesabaranku. Aku memandang Shahir, minta pengertian. Namun apa yang kuharapkan hanyalah sia-sia. Aku membetulkan tudungku.

“Minggu depan abang oustation.”

Aku menggangguk. Tanda memahami. Shahir tersenyum. Aku juga turut tersenyum. Sekadar mengambil hati.

“Macam nilah sayang abang. Sayang sikit.”

Shahir menyuakan pipinya berpura-pura minta dicium. Aku mencubit pinggangnya. Dia mengaduh kesakitan. Inilah kebahagiaan yang aku cari namun belum pasti...

Kenangan itu masih terlakar diingatan. Maafkanku, Shahir. Kerana aku terpaksa meninggalkanmu tanpa sisa berita. Aku mematahkan kad sim lamaku dan mengaktifkan nombor baru. Menukar penampilan agar tidak dikenali. Cukuplah, aku ingin buktikan pada mereka, aku mampu mengubahnya. Suara pramugari menjemput penumpang ke balai berlepas mematikan khayalku. Lantas aku bersiap menuju ke balai berlepas... selamat tinggal cinta...
~~~~~~~~(***)~~~~~~~~

            Aku membaringkan diri di katil. Hari minggu yang membahagiakan. Sehari-hari aku melakukan kerja-kerja rumah-mengemas, menyapu, mencuci pakaian dan memasak. Hari minggu yang menyihatkan. Aku melihat komputer ribaku. Melihat kotak e-mailku. Tertera nama Kak Dee. Mengirimkan e-mail. Aku membuka e-mail kirimannya...

....................................................................................................................................................................
To                               : lyndaros@gmail.com
Cc                               : antasyalina@yahoo.com
Subject                        : Salam
Alang, apa khabar? Semua di sini rindukan alang. Bulan depan adik nikah. Alang baliklah ye, sejak alang tak ada ibu selalu sebut2 nama alang. Rindu mungkin. Alang balik tau. Sekian.
Kak Dee
....................................................................................................................................................................

            Aku tersenyum membaca e-mail kiriman Kak Dee. Tanpa perasaan. Aku menekan beberapa tempat dan membalas e-mail Kak Dee...

....................................................................................................................................................................
To                               : antasyalina@yahoo.com
Cc                               : lyndaros@gmail.com
Subject                        : W’salam
Khabar baik. Dah masukkan 5k dalam akaun ibu untuk kegunaan kenduri. Terima kasih
Ros Alinda
....................................................................................................................................................................

Andai itu yang diminta, itulah yang mampu kuberikan. Aku enggan bersedih lagi. Kehidupan adalah untuk orang yang kuat. Itu prinsipku kini. Ibu inginkan aku membayar setiap apa yang diberikan, sedayaku cuba lunaskan. setiap bulan akaun ibu pasti 'berisi'. Walaupun aku inginkan lebih dari itu. Aku akur dengan takdir yang tersurat. Lalu aku menutup komputer riba...

~~~~~~~~(***)~~~~~~~~

            Aku melangkah penuh yakin. Hari Isnin perlu ceria. Tak usah terperangkap dengan ‘Monday blues’. Jangan ditukarkan menjadi ‘Black Monday’.

“Pagi, Cik Ros”

Aku tersenyum.

“Pagi, Happy Monday semua.”

Itulah perkataan yang selalu menyapa pekerjaku di setiap  pagi Isnin. Mengembalikan mood cuti yang masih tersisa. Memberikan motivasi di kala mood masih mengajak untuk bercanda.

“Cik Ros, semalam ada tetamu mencari Cik Ros. Tapi saya katakan Cik Ros cuti.”

Aku memandang Asha. Gadis India ini sangat cantik dari pengamatan mataku.

“Urusan kerja atau peribadi?”

Pertanyaanku menerbitkan senyuman di bibir Asha.

“Peribadi, I guess.”

Aku mengangkat kening. Razif takkan berhenti dari mencariku. Aku sendiri kurang pasti apa yang diingininya. Namun anak bujang Dato’ Razali itu tidak pernah berhenti dari mendekatiku. Walaupun hanya layanan dingin yang diterima. Bukan aku tak sudi...tapi cukuplah batasan kami hanya sebagai seorang pekerja hotel dan seorang klien sahaja. Walau apa pun... walau dengan sesiapa pun...hanya itu yang kuinginkan. Takkan melebihi dari itu. Aku berlalu meninggalkan kaunter daftar masuk hotel dan berlalu ke pejabatku...

~~~~~~~~(***)~~~~~~~~

            Aku memantau bahagian dobi dan spa. Melihat permasalahan dan memberi sedikit motivasi. Aku tahu tidak semua mereka menyukai caraku. Namun itu adalah tugasku untuk memastikan segala-galanya berjalan lancar.

“Cik Ros, kita ada masalah di kaunter.”

I’m on my way...

Aku menyambut panggilan walkie-talkie dari penyelia bahagian kaunter. Terus bergerak ke bahagian kaunter. Aku melihat Asha masih bercakap-cakap dengan seorang lelaki. Barangkali ada yang tidak berpuashati.

“Maaf, Encik. Apa boleh saya...”

Aku terkaku. Tak mampu meneruskan kata.

“Shahir...”

Hanya itu yang terluah dari bibirku. Shahir tersenyum melihatku. Senyuman dengan kerinduan yang terubat. Aku membetulkan anak rambut.

“Asha, I’ll handle this. Encik, sila ikut saya...”

Aku masih mampu mengukir senyuman. Senyuman dari seorang yang profesional. Lima tahun yang memberi penjaran berharga. Mengenai profesionalisme. Shahir mengikut jejakku...

~~~~~~~~(***)~~~~~~~~

            Aku memandang jauh ke laut. Mencari kekuatan dari teguhnya karang di laut. Shahir leka memerhatikan diriku.

“Alin sihat?”

Aku mengeluh. Membetulkan anak rambutku yang ditiup angin.

“Sihat. Dah berapa orang anak?”

Shahir memandang laut. Seakan kecewa. Mula menyedari kehadirannya tidak dialukan.

“Shahir masih tunggu Alin pulang...”

Ku dengar ada getaran pada nada suaranya. Aku tersenyum sinis.

“Kerja awak kan lebih penting...”

Shahir meraup rambutnya. Aku gagal mentafsir maksudnya kali ini. Terlalu lama cinta ini terpuruk. Sehingga aku sendiri lupa. Sungguh. Kesibukan ini melupakan diriku dari terusan menangisi hati.

“Shahir akui salah Shahir. Shahir mula sedar, semenjak Shahir kehilangan Alin, Shahir sudah mensia-siakan cinta Alin. Shahir Cuma memikirkan diri Shahir. Cuma memikirkan kerja Shahir.”

Aku tersenyum sinis. Enggan melayan kerenahnya lagi.

“Baguslah kalau sedar. Tapi dah terlambat...”

Aku berlalu meninggalkan Shahir. Tiba-tiba kurasakan lenganku dipegang kemas. Aku menoleh.

“Maafkan Shahir. Kita balik, sayang. Abang tak boleh hidup tanpa Alin...”

Aku melihat mata Shahir benar-benar mengharap. Aku tersenyum. Airmataku gagal ditahan. Perlahan aku melepaskan pegangan tangan Shahir. Melepaskan kenangan yang terungkap...

“Cukuplah. Jangan mengharap lagi...”

"Alin dah banyak berubah. Shahir tak kenal Alin lagi..."


"Shahir... saya hargai usaha awak menjejaki saya sehingga ke sini. tapi luka di hati ni masih berparut. Mungkin saya terlalu ego, dan saya mengakuinya. Dan lima tahun bukan ukuran yang baik untuk mengubati hati yang tercalar. Di sini saya bebas mengatur hidup saya. Saya punya autonomi untuk memberikan yang terbaik untuk hidup saya. Apa yang saya ingini. Maafkan saya kerana meninggalkan awak tanpa berita satu ketika dulu..."

Aku terus berlalu meninggalkan Shahir yang tidak mampu lagi menahan airmatanya. Pergilah cinta. Deritamu bukan untuk ditangisi. Isikanlah...dilain hati...tak perlu mengharap cinta yang pergi..

~~~~~~~~(***)~~~~~~~~



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...